fbpx
RESTU keluarga Allahyarham Muhammad Syukri (kiri) dan Zahran memberi 'kehidupan baharu' kepada penerima organ mereka.

Keizinan keluarga, bakti terakhir penderma organ

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“Bukan satu keputusan yang mudah untuk kami lakukan, tetapi memandangkan ada keperluan untuk menyelamatkan nyawa insan lain, kami reda”.

Menelusuri kisah pengorbanan ini membuatkan penulis kagum dengan keluarga penderma organ, Muhammad Syukri Bazli, 31. Persetujuan diberi biarpun hati masih berduka kehilangan insan tersayang. Namun, hajat penderma diutamakan.

Kerelaan keluarga penderma bukan sahaja memberi peluang kedua kepada insan yang menderita kesakitan tetapi mencerminkan nilai kemanusiaan, ihsan yang tinggi.

Hati Muhammad Syukri dipindahkan kepada seorang kanak-kanak di Hospital Kuala Lumpur manakala buah pinggang didermakan kepada dua pesakit diabetes yang dalam proses dialisis masing-masing di Hospital Selayang dan Pusat Perubatan Universiti Malaya.

Selain organ utama, proses pengambilan tisu seperti tulang dan kulit juga dilakukan bagi kegunaan rawatan perubatan lain termasuk pembedahan bone graft dan skin graft untuk pesakit kemalangan, kanser serta melecur.

Satu lagi kisah, pengorbanan ibu, bapa Allahyarham Muhammad Zahran Muhammad Zuraidi, 21, yang bersetuju organ anaknya didermakan untuk insan memerlukan.

Biarpun tidak mendaftar sebagai penderma, pemuda yang meninggal dunia setelah terlibat kemalangan itu pernah menyuarakan hasrat menjadi penyumbang. Bakti terakhir pekerja syarikat automotif ini terus subur melalui pendermaan organ termasuk hati, jantung dan kornea.

Selain dua nama ini, kita pasti teringat penderma mata, tulang dan buah pinggang, Amirrulmukminin Mohd. Zain dan Allahyarham Saripul Hizan Doraman.

Saripul pada mulanya mahu mendermakan buah pinggang buat isterinya namun keadaan wanita itu menyebabkan ia tidak dapat dilakukan, justeru keluarga memberikan kepada insan lebih memerlukan.

Bukan semua mampu namun kesemua keluarga ini berhati besar. Berdasarkan laporan tahun lalu, jumlah penderma selepas kematian di Malaysia masih kecil iaitu hanya 46 kes atau 1.33 penderma per sejuta penduduk.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata, faktor utama jumlah penderma organ masih kecil disebabkan waris tidak membenarkan organ penderma diambil walaupun sebelum ini sudah berikrar.

Sehingga Julai tahun lalu, terdapat kira-kira 10,800 pesakit menunggu untuk pendermaan khususnya pesakit buah pinggang, hati, jantung dan paru-paru, iaitu peningkatan sebanyak 5.4 peratus berbanding tahun 2024.

Sejak 1997 hingga Julai 2025, lebih 400,000 rakyat sudah berikrar sebagai penderma organ.

Kesemua ini hanya angka tetapi nilai sebenar yang perlu dilihat adalah hajat mereka menderma dan kerelaan keluarga membenarkannya. Ia sekali gus memberi sinar buat mereka yang sedang menunggu ‘nyawa’ baharu.

Tindakan itu boleh menjadi titik permulaan untuk bagi kehidupan orang lain, mungkin peluang seorang ibu, isteri, anak melihat insan tersayang kembali ‘gagah’ serta tidak lagi diselubungi kesakitan.

Kepada penderma dan keluarga mereka, anda adalah hero yang perlu didendang. Kisah anda ikhtibar buat semua agar lebih ramai yang mampu melakukannya. Terima kasih penderma organ.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN