fbpx
Sekumpulan wanita Malaysia pelbagai kaum berkumpul untuk bermain pickleball di sebuah gelanggang di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini. – M. Firdaus M. Johari

Wanita Malaysia masa kini ‘teracun’ pickleball

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KETIKA ini sukan pickleball semakin pantas berkembang di Malaysia, malah telah menjadi sebahagian daripada gaya hidup masyarakat di negara ini.

Banyak gelanggang pickleball dibuka dan sentiasa dipenuhi oleh mereka yang mula berjinak-jinak di dalam sukan tersebut.

Amira Alia Aminuddin salah seorang wanita yang turut serta aktif dengan sukan pickleball pada ketika ini.

Menurutnya, dia mula terlibat dengan sukan itu bermula Ogos tahun lalu setelah diperkenalkan oleh adik dan kakak iparnya.

“Ketika mula-mula mendengar nama pickleball ini namanya macam ‘pelik’ tetapi saya tidak melepaskan peluang untuk mencubanya.

“Setelah mencuba sukan ini, saya terus bermain hingga sekarang,” kata pekerja swasta itu kepada K-Wanita ketika ditemui di satu gelanggang di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Katanya, ketika awal-awal penglibatan dalam sukan itu tidak banyak gelanggang tersedia.

Amira mula bermain secara tetap pada Oktober tahun lalu apabila rakannya berjaya menempah gelanggang pickleball secara mingguan.

Kini, setelah hampir setahun terlibat dengan sukan itu, Amira bukan sahaja bermain pickleball secara mingguan, malah dia sedang bersedia untuk menyertai kejohanan kompetitif tidak lama lagi.

Bukan itu sahaja, Amira juga membentuk satu komuniti yang memberi peluang kepada mereka di luar sana untuk bersama-sama bermain sukan tersebut.

Terangnya, sebenarnya ramai yang mempunyai keinginan untuk bermain pickleball tetapi tidak ada kawan untuk bermain.

“Jadi kami berkongsi tentang aktiviti ini di aplikasi Reclub dan mereka yang berminat untuk bermain pickleball boleh turut serta.

“Apa yang lebih menarik mereka yang datang bermain terdiri daripada pelbagai kaum merangkumi Melayu, Cina dan India yang langsung tidak mengenali antara satu sama lain sebelum ini,” jelasnya.

Tambahnya, ternyata sukan ini juga boleh menjadi ‘ejen perpaduan’ kerana semua orang daripada pelbagai bangsa boleh bermain bersama-sama.

Pickleball kini juga menjadi satu medium wanita masa kini untuk mengisi masa lapang mereka dengan aktiviti bersenam dan beriadah.

Sebagai seseorang yang pernah bermain tenis dan badminton, Amira mengakui peralihan ke pickleball tidak terlalu sukar.

“Pickleball ni seperti bermain ping pong tetapi di gelanggang yang lebih besar.

“Jika siapa yang biasa bermain sukan menggunakan raket mudah untuk mereka menguasainya,” ujarnya.

Permainan pickleball menggunakan raket seperti badminton, tenis dan ping pong.

Kata Amira, bagi pemain baharu mereka mungkin akan mengambil sedikit masa untuk menguasai kekuatan pukulan dan memahami saiz gelanggang.

Tetapi jika bermainkan selalu, mudah untuk pemain baharu menguasainya.

Amira juga menitipkan pesanan buat wanita di luar sana yang berminat tetapi masih ragu-ragu untuk bermain pickleball untuk mencuba sukan itu.

“Cuba sahaja, sukan ini sangat sesuai untuk wanita dan sangat menyeronokkan.

“Tak perlu ambil masa lama untuk pandai,” jelasnya.

Sementara itu, Fyan Haizum, 34, berkongsi minat yang sama bermain pickleball.

Menurutnya, bermula dengan ajakan rakan kini dia sendiri aktif bermain sukan itu setiap minggu.

“Saya mula bermain pickleball ini sejak awal tahun ini dan kemudian saya ‘teracun’ dengan sukan ini.

“Saya seronok bermain dan ia bukan sekadar satu sukan yang memberi peluang untuk kita bersenam, malah mampu menghilangkan tekanan dan berkenalan dengan rakan baharu,” katanya yang bekerja dalam sektor swasta.

Sebelum ini, Fyan sering bermain badminton dan tiada masalah untuk menguasai sukan baharu iaitu pickleball.

Baginya pickleball lebih lagi menguatkan staminanya berbanding badminton.

“Pickleball ini lebih laju pergerakan dan membantu untuk meningkatkan lagi stamina saya,” jelasnya.

Kini pickleball menjadi sukan yang wajib untuk dia bermain. Setiap Sabtu dan Ahad, Fyan akan pergi bermain sukan tersebut.

“Saya tidak boleh jika tidak bermain pickleball ini dan rasanya muram jika tidak bermain. Malah, bagi saya komuniti pickleball lebih positif kerana kita boleh bermain permainan ini dengan orang yang kita tidak kenal,” ujarnya.

Pickleball sememangnya menjadi satu trend terkini dan ramai yang mula berjinak-jinak bermain sukan tersebut termasuk Rammiya Ellangovan, 33.

Menurutnya, dia baru sahaja dua bulan bermain sukan tersebut.

“Secara jujur pickleball ini tengah ‘trending’ dan saya lihat rakan-rakan saya juga bermain sukan ini. Jadi saya berfikir kenapa saya tidak mencubanya? Apabila saya mencubanya saya sangat menyukainya,” jelasnya.

Tambah Rammiya, kini setiap hujung minggu dia akan bermain pickleball.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN