fbpx
Johari (kanan) ketika bertemu dengan Jamieson Greer (kiri) sempena lawatan kerjanya ke Amerika Syarikat.

Malaysia perkukuh hubungan perdagangan dengan AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mengadakan mesyuarat dua hala pertama bersama Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (AS), Jamieson Greer sempena lawatan kerjanya ke AS.

Menerusi perkongsian di laman Facebooknya, Johari berkata, beliau menekankan peranan strategik Malaysia sebagai rakan dagang yang dipercayai serta penyumbang penting kepada rantaian bekalan global, khususnya dalam sektor pembuatan berteknologi tinggi.

“Sempena lawatan kerja, saya telah mengadakan mesyuarat dua hala pertama bersama Jamieson Greer, Wakil Perdagangan Amerika Syarikat. 

“Dalam pertemuan tersebut, saya menekankan peranan strategik Malaysia sebagai rakan dagang yang dipercayai serta penyumbang penting kepada rantaian bekalan global, khususnya dalam sektor pembuatan berteknologi tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, Johari berkata, kedua-dua pihak turut membincangkan usaha memperkukuh hubungan perdagangan dua hala berasaskan kepentingan bersama, termasuk perkembangan berkaitan siasatan di bawah Seksyen 301 dan Seksyen 232 yang berpotensi memberi kesan kepada eksport Malaysia.

“Saya menegaskan harapan Malaysia agar sebarang tindakan perdagangan mengambil kira kepentingan bersama, saling melengkapi serta tidak menjejaskan kestabilan dan daya tahan rantaian bekalan global.

“Malaysia dan Amerika Syarikat bersetuju untuk meneruskan dialog serta libat urus secara konstruktif dan telus dalam menangani isu-isu perdagangan. 

“Usaha ini penting bagi melindungi kepentingan perdagangan dan pelaburan negara, di samping mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai rakan ekonomi yang stabil, dipercayai dan berdaya saing,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN