PELUANG Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani untuk mengekalkan mahkota kejuaraan Terbuka Jepun tidak kesampaian selepas disekat pasangan Korea Selatan, Kim Won-ho-Seo Seung-jae dalam aksi final di Tokyo hari ini
Pasangan profesional negara itu tunduk dalam dua set 16-21, 17-21 dalam tempoh 38 minit, sekali gus gagal mengulangi detik gemilang menjuarai kejohanan berstatus Super 750 itu tahun lalu.
Bermain dengan corak pantas dan variasi pukulan yang tajam, pasangan No. 3 dunia dari Korea Selatan itu nyata lebih dominan ketika saat-saat kritikal, mengekang kebangkitan Sze Fei-Izzuddin yang bergelut mencari rentak dalam kedua-dua set.
Kekalahan itu bukan sahaja memadam impian mempertahankan gelaran, malah menyebabkan mereka mungkin terpaksa melepaskan takhta No. 1 dunia yang baru digenggam Mei lalu.
Kemenangan di Tokyo turut membolehkan Kim-Seo mendahului 2-1 dalam rekod pertemuan ke atas Sze Fei-Izzuddin, dengan sebelum ini pasangan Korea itu menewaskan mereka dalam final Terbuka Singapura, manakala pasangan negara membalasnya pada Terbuka India Januari lalu.
Sebagai naib juara, Sze Fei-Izzuddin membawa pulang hadiah wang tunai AS$33,250 (RM141,182), manakala juara baharu itu menerima ganjaran AS$70,300 (RM298,500) selepas mencatat gelaran kelima mereka musim ini.
Meskipun kecewa, pencapaian mara ke final dua kali di Tokyo meletakkan Sze Fei-Izzuddin sebaris dengan tiga gandingan legenda Malaysia – Razif-Jalani Sidek (1986), Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock (1998) dan Chan Chong Ming-Chew Choon Eng (2002). – KOSMO! ONLINE