PETALING JAYA – Kegagalan struktur kabin untuk melindungi ruang penumpang bas semasa impak menyumbang kepada tahap
kecederaan dan kematian yang tinggi dalam nahas jalan raya membabitkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 9 Jun lalu.
Menurut Laporan Awal Siasatan Keselamatan Pengangkutan Jalan oleh Pasukan Petugas Khas Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT), ketiadaan ciri-ciri keselamatan pasif seperti tali pinggang keledar bagi penumpang juga menyumbang secara langsung kepada tahap kecederaan dan kematian yang tinggi.
“Penembusan penghadang jalan ke dalam kabin di zon impak utama, di mana majoriti mangsa berada, merupakan faktor fizikal yang kritikal dalam menentukan kebolehselamatan mangsa,” kata laporan tersebut.
Kosmo! sebelum ini melaporkan seramai 15 maut dalam kemalangan membabitkan sebuah bas membawa pelajar UPSI dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) di Gerik.
Ketika kejadian bas tersebut dalam perjalanan pulang ke kampus UPSI Tanjung Malim dari Jerteh, Terengganu. – KOSMO! ONLINE