KLUANG – Dua maut, tiga parah dan seorang selamat dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Jalan Batu Pahat – Kluang berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Lalang di sini petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Hitam, Penolong Penguasa Bomba Mohamad Shamin Mohamed Salikin berkata, kejadian pukul 4.10 petang itu melibatkan tiga buah kenderaan iaitu kereta Volvo CX90, Proton Saga serta Toyota Vios yang dinaiki enam mangsa.
Jelasnya, dua mangsa maut adalah daripada kereta Toyota Vios, manakala tiga mangsa yang cedera parah masing-masing dua dari kereta Toyota Vios serta seorang dari Proton Saga, pemandu kereta Volvo CX90 tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Dua mangsa maut itu didapati tersepit didalam kereta Toyota Vios yang dinaiki oleh empat orang dan kerja-kerja mengeluarkan mangsa terpaksa menggunakan peralatan khas.
“Semua mangsa yang cedera telah dikejarkan oleh pihak ambulan ke hospital terdekat, manakala mayat mangsa meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi.
Menurut Mohamad Samin lagi, seramai tujuh anggota diketuai Pegawai Kanan I, Ramli Said bersama sebuah jentera FRT dan sebuah kenderaan EMRS telah dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat. – KOSMO! ONLINE














