JUBA – Sekurang-kurangnya 14 orang terbunuh dalam nahas pesawat penumpang di Sudan Selatan, selepas ia terbang dalam keadaan cuaca buruk, lapor akhbar The Sun UK semalam.
Juruterbang dan 13 penumpang disahkan maut selepas pesawat kecil itu menjunam ke darat dan terbakar semalam.
Lokasi nahas adalah kira-kira 19 kilometer di barat daya ibu negara Sudan Selatan, Juba.
Pesawat Cessna 208 Caravan yang dikendalikan oleh CityLink Aviation Ltd itu berlepas dari bandar Yei pada pukul 9.15 pagi (waktu tempatan).
Kawalan trafik udara dilaporkan terputus hubungan dengan pesawat itu kira-kira 30 minit dalam perjalanannya ke ibu negara.
Daripada 14 mangsa yang terbunuh, 12 adalah rakyat Sudan Selatan dan dua warganegara Kenya.
Pihak berkuasa penerbangan awam negara itu (SSCAA) berkata, satu pasukan telah dihantar ke lokasi nahas untuk menyiasat puncanya.
Laporan awal SSCAA mencadangkan pesawat itu mungkin terhempas disebabkan cuaca buruk, terutamanya jarak penglihatan yang rendah. – AGENSI














