PETALING JAYA – Laporan awal berhubung nahas bas yang melibatkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mendedahkan bahawa faktor manusia menjadi penyumbang utama tragedi tersebut.
Menerusi Laporan Awal Siasatan Keselamatan Pengangkutan Jalan oleh Pasukan Petugas Khas Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT), pemanduan berisiko tinggi serta kelemahan dalam pengurusan pemandu dikenal pasti sebagai faktor utama yang menyumbang kepada insiden tersebut.
Antara isu utama yang dibangkitkan ialah jumlah saman lalu lintas yang tinggi terhadap pemandu, corak pemanduan agresif serta pemilihan pemandu yang tidak layak.
“Corak pemanduan agresif, serta kemungkinan keletihan membentuk satu corak kegagalan dalam tadbir urus keselamatan pengendalian kenderaan awam.
“Siasatan lanjut akan terus meneliti corak kerja dan rehat pemandu, rekod latihan keselamatan dan pengalaman laluan, gangguan semasa pemanduan, pemantauan disiplin dan pemilihan pemandu oleh pengendali,” jelas laporan tersebut.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seramai 15 maut dalam kemalangan membabitkan sebuah bas membawa pelajar UPSI dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) di Gerik, 9 Jun lalu.
Difahamkan, ketika kejadian bas tersebut dalam perjalanan pulang ke kampus UPSI Tanjung Malim dari Jerteh, Terengganu. – KOSMO! ONLINE