fbpx
Persatuan bas mencadangkan kerajaan supaya memperkenalkan skim latihan percuma terutama kepada golongan B40 yang berminat menjadi pemandu kenderaan tersebut.

Bas banyak pemandu tiada

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Setiap tahun, negara berdepan kekurangan kira-kira 5,000 pemandu bas meliputi bas ekspres, bas persiaran, bas henti-henti, bas sekolah dan bas kilang serta lori.

Presiden Persatuan Pengusaha-pengusaha Bas ­Se-Malaysia, Da­tuk Mohamad Ashfar Ali berkata, kos yang tinggi untuk mendapatkan lesen memandu kende­raan berat (Lesen E), Lesen Vokasional Wajib (PSV) dan Lesen Memandu Barangan (GDL) menjadi punca utama masalah tersebut.

Katanya, setiap pemandu per­lu mengeluarkan RM5,­000 untuk mendapatkan lesen ter­sebut se­kali gus menjadi keka­ngan kepada golongan muda yang berusia 45 tahun dan ke bawah.

“Ramai anak muda berminat untuk bekerja sebagai pemandu bas, tapi mereka tidak mampu kerana lesen mahal. Jadi mereka buat keputusan untuk bekerja dalam industri gig sebagai penghantar makanan dan sebagainya.

“Setiap bulan mereka memperoleh RM2,000, berbeza dengan gaji pemandu bas RM3,000 ke RM4,000 sebulan dan bawa kenderaan berhawa dingin. Tetapi disebabkan tidak berkemampuan, orang muda sukar nak jadi pemandu bas,” katanya kepada Kosmo!.

Setakat ini, dianggarkan terdapat seramai 20,000 pemandu bas di Malaysia.

Menurut Ashfar, antara punca lain berlakunya kekurangan tersebut adalah disebabkan pemandu yang ada ketika ini sudah berusia dan bersara selain ada yang berhijrah untuk bekerja di Seberang Tambak kerana tawaran gaji yang lebih lumayan.

“Ada juga pemandu yang me­ninggalkan industri pengangkutan untuk bekerja dalam sektor lain. Jadi, disebabkan kura­ng pemandu dan kesukaran mendapatkan pekerja baharu, maka berlaku masalah disiplin dalam kalangan pemandu sedia ada.

“Pemandu tahu pekerja yang berhenti sukar diganti, jadi mereka tidak mengendahkan arahan majikan dan enggan membayar saman kerana pandu laju, parkir, melanggar lampu isyarat merah dan lain-lain,” katanya.

ASHFAR

Justeru, Ashfar mencadang­kan kerajaan supaya menyediakan latihan percuma bagi rakyat terutama golongan B40 untuk mendapatkan Lesen E dan Lesen PSB atau GDL bagi lori melalui sekolah memandu terpilih.

“Kami berharap dengan ada­nya dana ini, ia boleh menjana bilangan pemandu bas dan lori yang mencukupi bagi mengatasi masalah kekurangan pemandu yang dihadapi pengusaha pada setiap tahun.

“Dengan lebih ramai pemandu, industri pengangkutan mempunyai pilihan untuk memilih pemandu yang berkualiti dan menyingkirkan pemandu yang bermasalah untuk mengurangkan kemalangan jalan raya pada masa akan datang,” ujarnya.

Sementara itu, mengulas me­ngenai beberapa isu tular yang mencemarkan imej pemandu bas, Ashfar berkata, antara ­inisiatif yang boleh dilakukan termasuklah mewujudkan kad pengenalan pemandu bas.

Jelasnya, inisiatif tersebut pernah diperkenalkan sebelum ini oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, namun dipercayai tidak lagi dikeluarkan selepas fungsinya diambil alih Agensi Pengangkutan Awam Darat.

“Kad pemandu bas ekspres wajar dikekalkan kerana ia berperanan sebagai dokumen pe­ngenalan rasmi pemandu yang membolehkan syarikat, penguat kuasa dan penumpang mengenal pasti pemandu yang bertugas dengan lebih mudah.

“Sekiranya seseorang pemandu itu berhenti kerja dan berpindah ke syarikat lain, sistem kad tersebut boleh membantu proses pengesahan identiti serta rekod pemandu dengan lebih teratur.

“Malah, dokumen tersebut juga didakwa penting bagi mengelakkan sebarang kekeliruan sekiranya berlaku pertukaran pemandu di sesuatu perjalanan,” katanya.

Tambahnya, penggunaan kad pemandu turut memberi keyakinan kepada penumpang kerana mereka boleh mengetahui identiti individu yang mengendalikan bas, selain membantu syarikat memantau tahap pematuhan dan disiplin pemandu dengan lebih berkesan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN