PETALING JAYA – Sindiket penyeludupan migran dikesan mengubah modus operandi daripada menggunakan laluan laut kepada laluan udara dan darat secara berlapis bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, taktik baharu itu terbongkar susulan operasi khas Jabatan Imigresen (JIM) pada awal pagi semalam di sekitar Lembah Klang.
Menurutnya, operasi melibatkan Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA, Ibu Pejabat JIM Putrajaya dijalankan di dua lokasi utama iaitu Terminal Bersepadu Gombak (TBG) dan Terminal Bersepadu Selatan (TBS).
“Hasil risikan, JIM berjaya mengesan pergerakan tiba sekumpulan warga Indonesia ke Lembah Klang dari Kelantan dengan menaiki bas ekspres,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, di TBG, seramai empat warga Indonesia terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita ditahan bersama seorang lelaki yang dipercayai bertindak sebagai ‘transporter’.
“Di TBS seramai tiga lelaki dan tiga wanita Indonesia yang dipercayai mempunyai kaitan dengan rangkaian sindiket yang sama,” ujarnya.
Tambahnya, sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Mazda CX-5 yang digunakan bagi mengangkut migran turut disita.
Zakaria berkata, siasatan awal mendapati sindiket itu menggunakan laluan dari Indonesia ke Singapura sebelum diterbangkan ke Hat Yai, Thailand, seterusnya diseludup masuk ke Kelantan melalui laluan haram di sempadan Bukit Bunga.
“Migran kemudian ditempatkan di rumah transit sebelum diatur perjalanan ke Lembah Klang menggunakan bas ekspres secara berasingan bagi mengaburi pihak berkuasa,” katanya.
Beliau berkata, sindiket ini juga mengelak daripada menggunakan penerbangan terus ke Malaysia kerana dipercayai kebanyakan migran terlibat telah disenarai hitam daripada memasuki negara ini.
Menurut beliau, sindiket berkenaan dipercayai dikendalikan dalang dari Indonesia dengan rangkaian ejen di Hat Yai yang menguruskan logistik termasuk menyediakan rumah transit dan memalsukan cap kemasukan pasport.
“Rangkaian ini beroperasi secara berlapis (layered network) dengan pembahagian tugas yang khusus untuk memutuskan rantaian maklumat antara migran dan ahli sindiket bagi menyukarkan pengesanan,” katanya.
Katanya, kesemua migran berusia antara 27 hingga 60 tahun itu dipercayai membayar antara RM3,500 hingga RM4,000 seorang untuk masuk ke Malaysia secara tidak sah.
“JIM turut percaya wujud penglibatan warga tempatan yang bersekongkol dalam membantu sindiket ini termasuk dalam urusan pembelian tiket bas dan penyelarasan logistik perjalanan,” jelasnya.
Kesemua individu yang ditahan kini ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen bagi membantu siasatan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) serta Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155). – KOSMO! ONLINE














