fbpx

‘Saya marah-marah pun anak takkan hidup semula’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Faiz berharap kejadian yang menimpa bayinya memberi pengajaran kepada pihak berwajib.

MELAKA – “Saya lihat jenazah anak seperti sedang tidur, memang saya tunggu dia bangun tapi saya reda dan terima ketentuan Allah,” demikian luahan pilu Muhammad Faiz Adli Mohd Khatib, 33, yang kehilangan anak bongsunya, Saif Fahri, enam bulan.

Bayi lelaki itu meninggal dunia selepas dihantar ke sebuah taska di Taman Melayu, Padang Temu, di sini kira-kira pukul 5 petang semalam.

Menurut Muhammad Faiz, meskipun hatinya hancur, dia dan isterinya, Nur Saadah Zamri, 33, tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak termasuk pengurusan taska kerana sedar tindakan itu tidak mampu mengembalikan nyawa anaknya.

“Saya marah-marah pun anak takkan hidup semula, dia dah pergi. Ini semua takdir Allah. Kalau Saif ada dengan saya pun, kalau ajal dah sampai, (kematian) tetap akan berlaku. Anak sulung saya pun dihantar ke taska sama sejak usia tiga bulan dan tiada masalah,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka, di sini hari ini.

Kejadian itu disedari pengasuh selepas bayi tersebut ditidurkan kira-kira sejam sebelumnya. Ketika mahu memeriksa keadaannya pada pukul 5 petang, bayi itu didapati dalam posisi tertiarap dengan muka kebiru-biruan dan badannya masih dibedung atas tilam.

Pemeriksaan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah pada tubuh bayi berkenaan dan laporan polis telah dibuat oleh pihak hospital.

Dalam pada itu, Muhammad Faiz berharap kejadian yang menimpa bayinya memberi pengajaran kepada pihak berwajib terutama Jabatan Kebajikan Masyarakat agar penambahbaikan menyeluruh dapat dilaksanakan ke atas sistem penjagaan kanak-kanak.

“Saya harap kes Saif jadi asbab untuk JKM bertindak, jangan ada lagi ruang yang terlepas pandang sehingga meragut nyawa anak kecil. Apa yang berlaku ini semoga membuka mata semua agar kes begini tidak berulang,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI