fbpx
Ahli keluarga enam mangsa yang maut dalam kemalangan di Kampung Baru Pinang Tunggal, Sungai Petani tidak dapat menahan kesedihan ketika berada di Jabatan Forensik HSB, Alor Setar malam tadi. - Foto oleh SHAHIR NOORDIN

Nahas 6 maut: Suami isteri sempat buat akikah, kenduri masuk rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Pasangan suami isteri yang maut bersama empat lagi ahli keluarga dalam kemalangan tragis di Kampung Baru Pinang Tunggal, Sungai Petani dekat sini semalam baru sahaja mengadakan kenduri akikah bayi lelaki mereka pada bulan lalu.

Menurut ahli keluarga, Norzamilah Ghazali, 53, dia berkesempatan menghadiri majlis itu yang turut diadakan bersempena majlis kesyukuran masuk ke rumah baharu Allahyarham Ahmad Syafiq Ahmad Shukri, 29, di Taman Ara Suria, Pulau Pinang.

“Syafiq beli rumah di Ara Suria dan dia bersama isterinya, Jamaliah Sannusi, 29, baru sahaja mengadakan kenduri masuk rumah serta akikah bayi lelaki mereka, Ahmad Mikail.

“Bila berlaku kejadian ini, kami sekeluarga memang terkejut kerana enam orang pergi serentak,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini malam tadi.

Menurutnya, sebelum kejadian, anak saudaranya, Iskandar Affan Ibrahim, 7, dilihat sangat ceria dan berselera ketika makan bersama keluarga di rumah keluarga kanak-kanak itu di Bertam Putra, Pulau Pinang.

“Saya pergi ke rumah adik saya, Ibrahim, 39, yang merupakan bapa kepada Iskandar kerana semalam merupakan hari ulang tahun kelahiran adik saya itu. Kami makan bersama dan anak saya sempat menyuapkan makanan kepada Iskandar.

“Selepas itu, Iskandar mengikut keluarga sebelah ibunya menaiki Proton X50 yang baru dibeli oleh bapa saudaranya untuk ke Merbok. Dia sangat teruja hendak menaiki kereta baharu itu. Pada waktu sama, kakaknya pula tidak jadi ikut pada saat akhir,” ujarnya.

Katanya, dia kemudian dimaklumkan Proton X50 yang dinaiki tujuh sekeluarga itu terlibat dalam kemalangan sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

“Pada awalnya kami dimaklumkan hanya seorang yang meninggal dunia. Namun sebaik tiba di lokasi, semua mangsa sudah tiada di situ.

“Apabila melihat keadaan kenderaan yang remuk teruk di bahagian hadapan, saya mula berasa tidak sedap hati sebelum anggota bomba memaklumkan enam mangsa maut, manakala seorang kanak-kanak dibawa ke hospital kerana mengalami kecederaan,” jelasnya.

Tambahnya, walaupun masih terkejut dan bersedih dengan tragedi tersebut, dia reda dengan ketentuan Ilahi.

“Memang tidak sangka kerana sebelum itu kami sekeluarga termasuk Iskandar berada dalam suasana gembira. Tiba-tiba sahaja kami menerima panggilan memaklumkan mereka terlibat dalam kemalangan,” katanya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan enam sekeluarga termasuk seorang bayi berusia dua bulan maut dalam kemalangan membabitkan kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X50 dengan lori muatan tanah di Kampung Baru Pinang Tunggal, Sungai Petani kira-kira pukul 3.45 petang semalam.

Mangsa yang terkorban ialah pemandu kenderaan itu, Ahmad Syafiq yang merupakan anggota polis berpangkat Lans Koperal yang bertugas di Balai Polis Nibong Tebal.

Turut maut isterinya, Jamaliah yang merupakan jururawat serta bayi mereka, Ahmad Mikail yang baru berusia dua bulan. Seorang lagi anak pasangan itu, Aulia Sofea, 3, dilaporkan cedera parah di muka.

Tiga lagi mangsa yang maut ialah adik Ahmad Syafiq, Ahmad Fahim, 21, pemilik Proton X50 berkenaan yang bekerja sebagai jurujual kedai telefon, ibu mereka, Nora Mohd. Husin, 55, serta Iskandar Affan Ibrahim, 7, yang merupakan anak saudara kepada Ahmad Syafiq.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN