JOHOR BAHRU – Johor memerlukan sekurang-kurangnya 4,600 petugas kesihatan bagi menangani krisis tenaga kerja sektor kesihatan yang semakin kritikal ketika ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata, jumlah kakitangan itu diperlukan bagi menampung kekurangan staf kesihatan di hospital utama di Johor.
Jelasnya, Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini antara hospital utama yang berdepan dengan kekurangan staf kesihatan.
“Mereka yang diperlukan adalah pelbagai kategori kritikal termasuk doktor pakar, pegawai perubatan, penolong pegawai perubatan, jururawat serta anggota sokongan lain,”katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Semalam, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dilaporkan berkata, kekurangan itu telah memberikan tekanan kerja kepada petugas kesihatan bukan sahaja menjejaskan moral petugas, malah turut memberi kesan kepada kualiti rawatan yang diterima pesakit.
“Sebagai contoh di beberapa wad, seorang jururawat terpaksa menguruskan lebih 10 hingga 14 pesakit dalam satu syif, berbanding nisbah ideal 1:6 atau maksimum 1:8.
“Keadaan ini bukan sahaja tidak adil buat petugas, tetapi juga tidak selamat untuk pesakit jika dibiarkan berpanjangan,”katanya.
Sehubungan dengan itu, Onn Hafiz menegaskan, kerajaan negeri memandang serius perkara ini dan akan terus menyalurkan sokongan dari segi fasiliti serta keperluan kesihatan yang mendesak, selain membawa isu ini ke perhatian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan jabatan berkaitan. – KOSMO! ONLINE