JOHOR BAHRU – Parti Bersama Malaysia (Bersama) Johor menyatakan kesediaan untuk bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.
Pengerusi Jawatankuasa Sementara Bersama Johor, Abd Hamid Ali berkata, pihaknya kini sedang menyusun gerak kerja serta mengenal pasti kawasan yang mempunyai potensi untuk dimenangi pada PRN tersebut.
Menurutnya, walaupun parti itu baharu dilancarkan kira-kira seminggu lalu, Bersama Johor sudah mempunyai rangka kerja dan pasukan di hampir seluruh negeri.
“Kita sebenarnya sudah mempunyai perancangan dan strategi bagaimana untuk mendekati PRN Johor akan datang.
“Jangan anggap ini parti baharu kerana kebanyakan anggota dan pimpinan kita sudah lama terlibat dalam politik, cuma sekarang bergerak di bawah platform berbeza,” katanya pada sidang akhbar di Bandar Baru Uda di sini hari ini.
Beliau yang juga mantan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kluang berkata, pimpinan sementara negeri akan menasihati kepimpinan pusat supaya memberi fokus kepada kesemua 56 kerusi DUN di Johor.
Katanya, semua kawasan DUN berkenaan sudah mempunyai kumpulan kerja masing-masing dan kini hanya menunggu proses penyusunan akhir jentera.
“Jika kita yakin mempunyai peluang dan kekuatan untuk menang, kita akan bertanding di semua kawasan tersebut,” ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Sementara Bersama Johor, S. Gopalakrishnaan berkata, parti tersebut kini memberi tumpuan kepada pengukuhan organisasi di seluruh Johor sebagai persediaan menghadapi PRN.
Menurutnya, setakat ini pihaknya sudah mempunyai penyelaras atau person in charge (PIC) di kebanyakan kawasan Parlimen di negeri berkenaan.
“Daripada 26 kawasan Parlimen di Johor, kita sudah mempunyai kekuatan di kira-kira 20 hingga 22 kawasan.
“Kita akan melihat kerusi tumpuan dan kawasan yang dirasakan mempunyai kekuatan sebelum meletakkan calon,” katanya sambil menambah Bersama Johor mahu mengetengahkan calon tempatan yang lebih memahami kehendak pengundi di kawasan masing-masing,”katanya.
Setakat ini, hampir 2,800 anggota berdaftar PKR Johor dijangka menyertai kami dan angka itu akan terus bertambah dari semasa ke semasa melalui pendaftaran secara dalam talian.
Daripada jumlah itu hanya 29 peratus merupakan bekas ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR), manakala selebihnya terdiri daripada golongan muda dan individu tidak berparti.-KOSMO! ONLINE














