JOHOR BAHRU – Dakwaan Sidang Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang dikatakan berlangsung pada 24 Jun ini mempunyai kaitan pembubaran DUN belum dapat dipastikan lagi.
Timbalan Speaker DUN Johor, Datuk Samsolbari Jamali berkata, perkara itu masih belum disahkan.
“Tak ‘confirm (pasti)’,”katanya ringkas kepada pemberita ketika ditemui selepas mesyuarat jawatankuasa bersama 25 Ketua UMNO Bahagian di Pejabat Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor di sini.
Hadir mempengerusikan mesyuarat, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang juga Pengerusi UMNO Negeri Johor dan Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi UMNO Negeri Johor, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan dan Ketua Penerangan UMNO Negeri Johor, Md Israk Abdullah.
Selain itu, turut kelihatan, kehadiran ketua-ketua sayap UMNO Negeri Johor, Ketua Wanita, Asiah Md Ariff, Ketua Pergerakan Pemuda, Noor Azleen Ambros dan Ketua Pergerakan Puteri, Rina Farhana Abdullah.
Selepas selesai mesyuarat, Onn Hafiz ketika ditemui hanya tersenyum kepada pemberita dan tiada sebarang sidang media diadakan.
“Tumpang lalu,”selorohnya.
Seorang Ketua Bahagian UMNO yang ditemui berkata, hanya perbincangan mengenai gerak kerja menyantuni rakyat yang menjadi agenda mesyuarat dan bukan mengenai tarikh PRN Johor.
“Kita bincang pasal gerak kerja, mana ada cakap pasal tarikh-tarikh pilihan raya ini,” katanya ringkas.
Usaha media mendapatkan komen daripada ketua bahagian lain juga gagal apabila kebanyakan mereka hanya senyum dan mengunci mulut.
Sehingga kini, isu Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor terus menjadi bualan hangat apabila ada yang mendakwa ia akan diadakan lebih awal sekali gus pembubaran DUN akan berlaku dalam masa terdekat.
PRN Johor 2022 berlangsung pada Mac 2022 menyaksikan Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk kerajaan dengan majoriti mudah selepas memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN di Johor.
Jika diikutkan, penggal Kerajaan Negeri Johor hanya akan tamat pada April 2027.-KOSMO! ONLINE














