PETALING JAYA – Siapa sangka, tabiat menonton video kucing yang selama ini dianggap sekadar hiburan, sebenarnya membawa manfaat besar kepada kesihatan emosi dan mental.
Pegawai perubatan, Dr. Ahmad Samhan Awang berkongsi satu kajian yang dijalankan oleh Dr. Jessica Gall Myrick dari Universiti Indiana mendapati bahawa menonton video kucing secara dalam talian mampu mengurangkan tekanan dan meningkatkan rasa gembira.
Katanya, kajian tersebut melibatkan lebih 7,000 responden dari pelbagai latar belakang.
“Antara dapatan menarik yang diperoleh, 90 peratus peserta melaporkan mereka berasa lebih tenang dan ceria selepas menonton video kucing.
“Emosi negatif seperti stres, risau dan sedih menurun dengan ketara. Ia bertindak sebagai ‘mini emotional reset’ bagi otak dan jiwa peluang untuk ‘bernafas’ seketika,” katanya menerusi perkongsian di kumpulan Telegram.
Dr. Samhan turut berkongsi pandangan berhubung fenomena ini dan mengaitkannya dengan aktiviti harian manusia.
“Kadang-kadang kita terlalu sibuk dengan kerja dan kehidupan sampai lupa untuk ‘pause’ sekejap.
“Cuba ambil masa dua hingga tiga minit tonton video kucing, ia cukup untuk segarkan fikiran dan stabilkan emosi,” katanya.
Tambah beliau, video kucing boleh dianggap sebagai ‘terapi mini’ yang murah dan mudah diakses.
“Jadi, kalau hari ni korang rasa penat, kepala serabut, ‘mood down’ sikit boleh cuba ‘scroll’ video kucing sekejap. Bukan sekadar hiburan, tapi terapi mini untuk otak dan hati.
“Dan ya, ini sains yang cakap, bukan saya sorang je,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE