PETALING JAYA – Terlantar sakit sejak hampir seminggu lalu, pelakon Dayana Roza mengalami jangkitan serius pada perut yang hampir menjadi ulser.
Menerusi satu hantaran dalam Instagram, Dayana Roza atau nama lengkapnya Nur Dayana Kamsun Baharin, 34, mengakui sering mengabaikan kesihatan diri sendiri sehingga terpaksa dikejarkan ke hospital.
“Saya bergelut dengan hidup secara senyap sejak tahun lepas. Abaikan diri sendiri, sentiasa tertekan, kadang lupa makan.
“Sekarang sudah enam hari di hospital, perut ada jangkitan teruk dah melecet hampir jadi ulser,” katanya.
Mengambil iktibar situasi yang menimpanya, Dayana turut menitipkan pesanan kepada orang ramai agar tidak menunggu sehingga jatuh sakit untuk mula menjaga kesihatan, baik dari segi emosi mahupun fizikal.
“Kesihatan emosi dan fizikal adalah penting. Tolong jangan tunggu sampai badan dah sakit.
“Mulai sekarang, saya pilih diri saya. Saya akan kembali dengan lebih kuat dan meletakkan diri sendiri sebagai yang pertama,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE