MELAKA – Seramai 55 pelarian Rohingya yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) direkodkan mendapatkan rawatan di Hospital Melaka sepanjang tempoh Januari hingga Mei tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 40 kes melibatkan kelahiran bayi manakala 15 lagi merupakan kes rawatan lain.
Menurut beliau, statistik itu direkodkan berdasarkan data pesakit pemegang kad UNHCR yang menerima perkhidmatan kesihatan di hospital berkenaan dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.
“Jumlah kes bersalin melibatkan pemegang kad UNHCR di Hospital Melaka setakat Mei lalu adalah sebanyak 40 kes, manakala 15 lagi merupakan kes rawatan lain.
“Secara keseluruhannya, seramai 55 pelarian Rohingya mendapatkan rawatan di Hospital Melaka sepanjang tempoh tersebut,” katanya kepada pemberita hari ini.
Sebelum ini, laporan media menyebut kerajaan didakwa menanggung kira-kira RM30 juta setahun bagi kos rawatan kesihatan melibatkan pelarian etnik Rohingya di hospital awam, sekali gus mencetuskan perbincangan mengenai beban kewangan yang ditanggung sistem kesihatan negara.
Dalam pada itu, Ngwe berkata data yang direkodkan di Hospital Melaka tidak menunjukkan jumlah pesakit Rohingya yang luar biasa sepanjang tempoh berkenaan. – KOSMO! ONLINE














