KUALA LUMPUR – Asia Tenggara wajib menjadi zon bebas senjata nuklear sebagai simbol keamanan serantau dan manifestasi komitmen ASEAN terhadap dunia yang lebih aman, stabil dan berperikemanusiaan.
Pensyarah Kanan di Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff berkata, dunia hari ini semakin terdedah kepada persaingan kuasa nuklear dan ketidaktentuan keselamatan global.
“Komitmen ASEAN untuk kekal sebagai zon bebas senjata nuklear merupakan kewajipan moral, strategik dan kemanusiaan.
“Malaysia sebagai pengerusi ASEAN telah menegaskan komitmennya untuk memastikan Asia Tenggara kekal sebagai zon bebas senjata nuklear selaras dengan Piagam ASEAN dan Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kamarul Zaman berkata, Perjanjian SEANWFZ yang kini berusia 30 tahun kekal sebagai tonggak utama kepada kerangka keselamatan ASEAN dan merupakan sumbangan penting rantau ini terhadap usaha pelucutan senjata secara global.
Kata beliau, meskipun Protokol SEANWFZ masih belum ditandatangani oleh lima kuasa nuklear utama dunia, ASEAN telah mencatat pencapaian besar dalam menggalakkan penggunaan teknologi nuklear untuk tujuan aman.
Ujar beliau, penyertaan Timor-Leste yang dijangka dimuktamadkan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pula bakal memperluaskan skop geografi perjanjian itu dan mengukuhkan posisi strategik Asia Tenggara di peringkat global.
Bagaimanapun, katanya, kebimbangan utama adalah Asia Tenggara masih merupakan satu-satunya zon bebas senjata nuklear yang belum mendapat pengiktirafan rasmi daripada kelima-lima kuasa nuklear utama, iaitu China, Rusia, Perancis, United Kingdom dan Amerika Syarikat (AS)
“Dalam hal ini, kesediaan China dan Rusia untuk menandatangani Protokol SEANWFZ adalah suatu perkembangan positif. Walaupun AS masih dalam proses penilaian, pendekatan diplomatik ASEAN yang konsisten pula diyakini mampu mendorong Washington untuk menyertai komitmen ini dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau berkata, penegasan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan bahawa ASEAN mesti bekerja secara kolektif untuk mewujudkan keadaan yang kondusif agar kuasa-kuasa nuklear dapat mengambil langkah penting itu termasuk menyelesaikan isu-isu yang tertangguh secara pragmatik adalah langkah tepat.
“Seperti yang ditekankan oleh beliau, senjata nuklear adalah ancaman wujud kepada seluruh umat manusia, maka menjadi tanggungjawab generasi kini untuk memastikan bahawa Asia Tenggara benar-benar bebas daripada bahaya ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE