KUALA LUMPUR – Jumlah kemasukan pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menunjukkan peningkatan mendadak lebih 50 peratus dalam masa empat tahun kebelakangan (2021-2025).
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, lonjakan berkenaan adalah berskala besar hasil usaha sama pihak kementerian berdasarkan fokus reformasi pendidikan terhadap enam bidang.
“Tahun lalu, KPM telah menetapkan enam bidang untuk dijadikan reformasi pendidikan. Salah satu adalah pembangunan dan pembudayaan STEM selain pembangunan pendidikan digital serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Semua ini ada kaitan dengan apa yang kita lakukan hari ini. Sasaran 60 peratus peningkatan pelajar masuk bidang STEM itu masih kekal dan kini kita berada di landasan yang betul,” katanya selepas menyaksikan Majlis Perasmian Program STI 100³ di Sekolah Menengah Kebangsaan Tiara Permai, di sini hari ini.
Program berkenaan berjaya meraih dua pengikitirafan daripada Malaysia Book of Records melalui ‘Largest Scientist Participation in a Simultaneous STEM’ Programme ‘Scientists@Schools: Jom STI!’ dan ‘Largest School Participation in a Simultaneous STEM Programme ‘Scientists@Schools: Jom STI!’.
Mengenai persiapan kementerian menyediakan guru-guru yang mencukupi dalam mendepani peningkatan jumlah pelajar, Kah Woh berkata, KPM sentiasa peka terhadap keperluan berkenaan.
“Sememangnya setiap tahun KPM mempunyai unjuran untuk pengambilan guru sama ada di peringkat sekolah menengah atau rendah.
“Kami mempunyai perancangan rapi untuk memastikan pakar, guru-guru yang dilatih dan dilantik dapat menampung keperluan semasa,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE