fbpx
Hidangan yang menggunakan udang galah segar Kuala Rompin mempunyai rasa yang lebih sedap. - GAMBAR HIASAN

Udang galah frozen, import dicanang ori Rompin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ROMPIN – Kuala Rompin terkenal dengan udang galah sehingga ada penggemarnya yang sanggup datang dari jauh semata-mata untuk menikmati keenakan hidangan udang galah.

Ramai penggemarnya me­ngakui rasa dan keenakan udang galah sungai di daerah ini mempunyai kelainan kerana isinya kenyal serta manis yang berbeza dengan tempat lain.

Bagaimanapun, kemasukan udang galah dari luar ke daerah ini termasuk udang galah beku yang diimport telah menjejaskan keenakan rasa hidangannya.

Masalah itu berlaku ekoran kekurangan bekalan udang galah sungai berbanding permintaan yang terus meningkat.

Ia menyebabkan ramai penggemar masakan itu berasa tertipu apabila hidangan udang galah yang disediakan bukan ‘original’ Rompin, sebaliknya udang galah import.

Seorang penggemar udang galah dari Shah Alam, Sela­ngor, Mohamad Yusof Abdullah, 40, berkata, dia pernah makan udang galah yang sudah agak lembik dan berbau ketika singgah di sebuah kedai makan di daerah ini.

Katanya, dia yang telah ba­nyak kali singgah makan udang galah di Kuala Rompin mengesyaki terdapat udang galah import yang sudah lama dijual peniaga.

“Tidak mengapa kalau mereka menjual udang galah import kalau tiada stok, tetapi seharusnya memaklumkan kepada pelanggan dan harga juga perlu berbeza.

“Saya kecewa dan rasa tertipu, sepatutnya dimaklumkan sama ada udang galah Rompin atau import, kalau import di Lembah Klang pun banyak dan harganya murah,” katanya semalam.

Seorang penduduk tempatan, Rizuan Abdul Rahim, 39, berkata, dia sememangnya sudah lama tidak menjamah hidangan udang galah di kedai kerana bimbang ia udang galah import.

Katanya, jika ingin menikmati hidangan itu, dia akan me­nempah udang galah segar daripada nelayan sungai untuk dimasak sendiri.

“Sepatutnya pihak berkuasa perlu menetapkan supaya peniaga maklum kepada pelanggan sama ada hidangan udang galah ori (asli dari Rompin) atau tidak dan harga juga perlu berbeza.

“Kalau dibiarkan begini, saya bimbang masa depan industri udang galah di Rompin akan lenyap dan nama udang galah yang sinonim dengan Rompin juga akan tercemar,” katanya.

Harga masakan hidangan berasaskan udang galah segar Kuala Rompin antara RM100 hingga RM110 sekilogram.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN