SEREMBAN – Penyatuan dalam UMNO hanya boleh dicapai jika semua pihak sanggup merendahkan ego dan kembali kepada asas perjuangan parti.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, meskipun terdapat perbezaan pendapat dan sejarah disiplin dalam kalangan ahli, semangat kekeluargaan perlu diutamakan demi masa depan parti.
“UMNO ini sebuah keluarga. Walaupun ada yang pernah dikenakan tindakan, jasa mereka kepada parti tidak boleh diketepikan.
“Yang penting sekarang ialah penyatuan, dan penyatuan tidak boleh berlaku secara sebelah pihak. Kalau sayangkan UMNO, rendahkan ego dan bersatulah di bawah parti ini,” katanya kepada pemberita pada Persidangan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban di Sikamat, di sini malam tadi.
Mengulas perbincangan terkini dalam Majlis Kerja Tertinggi (MKT), beliau menyambut baik kesediaan Presiden UMNO untuk menerima rayuan daripada mana-mana ahli yang pernah dikenakan tindakan disiplin.-KOSMO! ONLINE