PETALING JAYA – Seramai 13 Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini mendesak parti itu segera keluar atau dikeluarkan daripada gabungan Perikatan Nasional (PN) susulan dakwaan kegagalan kepimpinan tertinggi parti menjaga hubungan dalam gabungan tersebut.
Menerusi satu kenyataan bersama, kumpulan Ahli Parlimen berkenaan mendakwa tindakan Pas memutuskan hubungan dengan Bersatu bukan sesuatu yang mengejutkan kerana berpunca daripada sikap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta kepimpinan utama parti.
Menurut mereka, Bersatu didakwa berulang kali melanggar semangat kebersamaan dalam PN sehingga menjejaskan keutuhan gabungan yang dibina bersama parti-parti komponen.
“Kami amat kecewa dengan sikap Bersatu yang kerap kali melanggar semangat kebersamaan dalam Perikatan Nasional.
“Keengganan menghormati semangat setiakawan antara parti komponen akhirnya telah memakan diri dan menghancurkan keutuhan koalisi yang telah dibina dengan susah payah,” menurut kenyataan itu, hari ini.
Mereka turut mendakwa telah beberapa kali menegur Muhyiddin secara dalaman berhubung hala tuju parti dan kepentingan menjaga hubungan dalam PN, namun teguran tersebut tidak diendahkan.
Menurut mereka, Lembaga Disiplin parti juga didakwa telah digunakan untuk menyekat pandangan yang berbeza dalam kalangan pemimpin dan Ahli Parlimen.
Dalam kenyataan sama, kumpulan itu mendakwa Bersatu kini hanya mempunyai enam Ahli Parlimen yang masih bersama kepimpinan parti dan tidak lagi mempunyai nilai signifikan dalam PN.
“Jika Bersatu kekal dalam PN, maka kelemahan Bersatu dan keangkuhan Tan Sri Muhyiddin akan melumpuhkan PN,” katanya.
Sehubungan itu, mereka turut menggesa semua lantikan politik serta jawatan Exco yang disandang wakil Bersatu di negeri-negeri berkaitan dikaji semula dan dirombak.
Kenyataan bersama itu ditandatangani oleh Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee; Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin; Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz; Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Ahli Parlimen Kangar, Zakri Hassan dan Ahli Parlimen Lumut, Komander (B) Nordin Ahmad Ismail.
Selain itu, Ahli Parlimen Rompin, Datuk Abdul Khalib Abdullah; Ahli Parlimen Sungai Besar, Datuk Muslimin Yahaya; Ahli Parlimen Mersing, Muhammad Islahuddin Abas; Ahli Parlimen Sabak Bernam, Kalam Salan; Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Khlir Mohd Nor; Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Roslan Hashim dan Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Dr. Ku Abd Rahman Ku Ismail. – KOSMO! ONLINE.














