PETALING JAYA – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyediakan peruntukan berjumlah RM47.8 juta kepada 31,850 pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian peringkat diploma di universiti awam (UA) dan politeknik bagi kemasukan sesi Julai 2025.
Peruntukan itu disalurkan melalui pemberian Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) berjumlah RM1,500 bagi setiap pelajar yang layak untuk menampung sebahagian perbelanjaan bagi persiapan awal pembelajaran.
PTPTN menerusi kenyataan berkata, WPP diberikan kepada pelajar tempatan yang telah memberikan persetujuan menerima peruntukan itu semasa membuat permohonan kemasukan institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) melalui UPUOnline atau portal kemasukan UA.
“Selain itu, ibu bapa atau penjaga pelajar juga merupakan penerima Sumbangan Tunai Rahmah serta memenuhi kriteria kelayakan yang telah ditetapkan.
“Semenjak WPP diperkenalkan pada tahun 1999 hingga 31 Mei 2025, seramai 990,638 pelajar telah menerima manfaat ini dengan peruntukan berjumlah RM1.46 bilion,” kata kenyataan itu.
Menurut PTPTN, pelajar boleh membuat semakan tawaran melalui aplikasi myPTPTN dan boleh menunaikan WPP di kaunter Bank Islam Malaysia Berhad di seluruh negara mulai 2 Julai ini dengan membawa surat tawaran WPP dan juga MyKad pelajar (wakil adalah tidak dibenarkan).
“Tempoh sah laku WPP adalah selama dua (2) bulan bermula 2 Julai hingga 1 September depan,” jelas kenyataan sama.
Kenyataan sama memaklumkan, wakil PTPTN bersama Pengerusinya, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim, telah menyantuni pelajar yang ditawarkan WPP melalui sesi ziarah ke rumah pelajar di kawasan Bukit Gelugor, Pulau Pinang, hari ini.
Menerusi program berkenaan surat tawaran turut disampaikan kepada pelajar yang layak.
Norliza berkata, PTPTN sentiasa komited memastikan akses kepada pendidikan tinggi dapat dinikmati semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang sosioekonomi.
“Inisiatif pemberian WPP PTPTN ini adalah untuk membantu menampung sebahagian perbelanjaan bagi persiapan awal pelajar baharu memasuki UA dan Politeknik.
“Di Pulau Pinang, seramai 1,419 orang pelajar ditawarkan WPP berjumlah RM2.13 juta, manakala bagi kawasan Bukit Gelugor pula melibatkan 87 pelajar dengan peruntukan sebanyak RM130,500,” ujarnya.
Para pelajar boleh membuat permohonan pinjaman PTPTN secara dalam talian melalui aplikasi myPTPTN mengikut tarikh permohonan yang ditetapkan bagi setiap UA dan politeknik untuk memastikan pinjaman dapat diproses dan diluluskan sewajarnya.
Pelajar yang ingin memohon pinjaman PTPTN juga perlu mempunyai akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) yang boleh dibuka melalui aplikasi myPTPTN. – KOSMO! ONLINE