SUBANG – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan menerima beberapa aset, sistem dan platform pertahanan udara baharu bermula Oktober ini sehingga penghujung tahun 2028.
Panglima Tentera Udara (PTU) ke-20, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan berkata, semua perolehan itu akan diterima secara berperingkat.
Beliau berkata, ia selaras dengan Pelan Strategik Pembangunan TUDM 2055 (CAP55) yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan dan dijangka meningkatkan keupayaan pertahanan negara secara menyeluruh.
“Antara aset terbabit ialah sistem pesawat tanpa pemandu (UAS), pesawat FA-50 Light Combat Aircraft (LCA), pesawat rondaan maritim (MPA), radar pertahanan udara dan helikopter baharu.
“Ia kini dalam proses perolehan dan akan mula diterima ke dalam inventori TUDM mulai Oktober tahun ini, 2026, 2027 dan sehingga hujung 2028,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Serah Terima Tugas Panglima Tentera Udara di Pangkalan Udara Subang di sini, hari ini.
Menerusi upacara berkenaan, Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris dilantik sebagai PTU yang baharu bagi menggantikan Asghar Khan yang akan bersara Disember nanti.
Tambah Asghar Khan, seluruh warga TUDM juga disaran supaya mengukuhkan kefahaman terhadap teknologi dan peperangan masa kini serta akan datang.
“TUDM sedang berada di ambang transformasi strategik yang penting. Pasukan perlu sentiasa kekal relevan, tangkas dan bersedia menghadapi cabaran multidimensi.
“Saya yakin barisan kepimpinan yang menggantikan saya mampu membawa TUDM ke tahap lebih tinggi,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE