LATIHAN industri adalah fasa penting dalam kehidupan seseorang mahasiswa sebelum bergelar graduan. – Gambar hiasan

Latihan industri lonjak potensi mahasiswa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MAHASISWA merupakan aset dan pemimpin harapan negara pada masa hadapan. Di bahu mereka terletak kemampuan dan tanggungjawab untuk mengubah struktur ekonomi dan membentuk nilai-nilai serta norma masyarakat.

Latihan industri adalah fasa penting dalam kehidupan seseorang mahasiswa sebelum bergelar graduan. Proses tersebut adalah fasa penyesuaian di antara teori yang telah dipelajari di alam kampus dengan persekitaran kerja yang sebenarnya. Fasa ini juga akan membawa kepada pembelajaran kemahiran praktikal yang akan dikuasai dalam sektor industri.

Latihan industri merupakan penempatan pelajar di sesebuah organisasi dalam tempoh masa tertentu. Pada kebiasaannya, pelaksanaannya adalah berbeza bagi sesuatu program pengajian dan tempohnya tidak kurang daripada tiga bulan.

Penempatan tersebut merupakan syarat wajib bagi pelajar dalam program-program tertentu di semua peringkat pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT). Syarat tersebut perlu dipatuhi bagi penganugerahan sijil, diploma dan ijazah.

Mahasiswa mempunyai ruang untuk memohon di industri yang bersesuaian dengan program pengajian di IPT. Sebelum penempatan, pihak Pusat Kerjasama Universiti-Industri akan menyampaikan taklimat meliputi persediaan, pelaksanaan dan penilaian.

Dalam persekitaran dunia yang semakin mencabar, kecemerlangan akademik semata-mata yang dimiliki oleh mahasiswa sahaja tidak memadai. Mereka perlu dilengkapi dengan pengalaman praktikal, kemahiran insaniah dan sikap yang positif serta proaktif.

IPT telah melaksanakan keseluruhan proses pembelajaran yang diperlukan mengikut piawaian program berupa teori. Proses pembelajaran kendiri seterusnya perlu diperkasakan dalam situasi sebenar dalam alam pekerjaan.

Seusai pengajian secara teori, mahasiswa perlu didedahkan dengan pengkhususan pekerjaan mengikut bidang yang dipelajari.Ini akan memberikan pengukuhan dan pengalaman bermakna bersama organisasi. Justeru itu matlamat bagi membina dan melahirkan graduan yang kompeten akan berjaya direalisasikan.

IPT sentiasa berusaha membina jaringan kerjasama strategik bersama pihak industri melalui memorandum persefahaman. Salah satu matlamatnya ialah bagi memastikan mahasiswa mempunyai ruang penempatan di industri apabila selesai sesi pengajian di alam kampus.

Ketika menjalani latihan industri, majikan mengharapkan mahasiswa dapat menyelesaikan tugasan dan amanah yang diberikan dalam tempoh masa yang ditetapkan. Di samping melaksanakan tugasan, kemahiran analitikal dapat dibina. Ini akan membolehkan mereka mampu menguruskan tugasan dan berdikari dalam melaksanakan tanggungjawab tambahan.

Ketika berada di industri, budaya kerja profesional, beretika dan bertanggungjawab perlu dipasak. Oleh itu, nama baik dan imej IPT serta agensi perlu dijaga. Bak kata pepatah di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.

Kemahiran komunikai yang menjadi nadi penting perlu diperkukuhkan. Mahasiswa perlu bijak dalam berkomunikasi dan menggunakan ruang yang tersedia secara efisien dalam menyampaikan pandangan membina bagi tujuan penambahbaikan. Anda adalah cerminan organisasi dan perlu menyempurnakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan.

Sebagai individu yang baharu menjejakkan kaki ke alam pra-pekerjaan sudah pasti anda kaya dengan kreativiti dan idea yang segar. Kebolehan mengaplikasikan pengetahuan yang dipelajari dalam situasi pekerjaan sebenar adalah satu nilai tambah. Anda perlu mempunyai kemahiran bertindak tanpa menunggu arahan. Di samping itu, sikap ingin tahu dan bermotivasi tinggi juga perlu dibina dan akan dibawa sebagai bekal masa hadapan.

Mahasiswa perlu mempunyai keupayaan bekerja dalam pasukan dan mampu mengamalkan semangat setia kawan. Semangat bekerja secara berpasukan akan membina hubungan baik dan bertolak ansur dengan orang lain.

Hal ini akan membina kefahaman tentang tanggungjawab antara pemimpin dan ahli kumpulan. Sudah pasti perbezaan, kekurangan dan kelebihan individu lain perlu dihormati dan diraikan.

Walaupun berada di industri, hubungan dengan penyelia di universiti perlu sentiasa dijaga. Penyelia akan sentiasa membantu khususnya dalam aspek konsultasi dan penyeliaan di industri.

Perbincangan bersama dengan pihak majikan yang dilaksanakan secara berkala mampu membina hubungan baik antara IPT dan industri. Di samping itu, penjajaran dapat dilakukan agar mahasiswa berada dalam ruang dan situasi pembelajaran yang tepat dan berkesan.

Kerangka pendidikan tinggi Malaysia berpasakkan kepada empat nilai teras yang digariskan iaitu berpaksikan kemanusiaan, kesejahteraan holistik, kemakmuran bersama dan kemampanan.

Aspirasi bakat yang dihasratkan bertujuan membentuk tenaga kerja masa hadapan yang progresif, dinamik dan terangkum. Dimensi tersebut bersifat kebolehsuaian, tangkas dan berdaya tahan, pembina negara, menghayati nilai dan siap siaga masa hadapan.

Matlamat IPT antara lain ialah untuk mewujudkan perkongsian dengan industri bagi merancakkan pembangunan ekonomi, memperkukuh kebolehpasaran bakat dan memacu inovasi menerusi inisiatif kerjasama. Diharapkan matlamat ini tercapai melalui latihan industri.

Di pihak IPT, gunakan ruang bersama pelajar selepas tamat latihan industri bagi tujuan refleksi. Pengalaman mereka sangat berharga dan perlu digunakan sebagai ruang untuk membuat penambahbaikan secara berterusan.

Sebagai pelajar dan mahasiswa, anda perlu akur bahawa sumbangan menara gading penting kerana menjadi tempat menimba pengalaman serta pengetahuan yang sangat bermakna. Pengalaman tersebut merupakan aset penting yang boleh dimanfaatkan untuk memilih pekerjaan yang bersesuaian selepas tamat pengajian kelak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN