NOALE, Itali – Juara dunia MotoGP 2024, Jorge Martin kini hanya menanti ‘lampu hijau’ daripada pasukan perubatan untuk turun menguji jentera Aprilia RS-GP.
Ujian berkenaan dirancang bagi memberi peluang kepada pelumba Sepanyol itu menikmati semula perasaan bersama jentera RS-GP, sebelum membuat kemunculan semula dalam saingan MotoGP selepas terpaksa berehat panjang akibat siri kecederaan sejak Februari lalu.
Martin dijadual menjalani pemeriksaan perubatan penting pada minggu pertama Julai bersama pakar perubatan yang akan menjadi penentu kepada tahap kecergasan pelumba itu selepas terlepas sembilan perlumbaan musim ini.
“Kami sedang tunggu doktor sahkan. Bila dapat lampu hijau, kami teruskan ujian khas untuk Martin,” kata Pengarah Sukan Aprilia, Paolo Bonora.
Musim 2025 menjadi mimpi ngeri buat Martin dengan bermula kecederaan ketika ujian pramusim pada 5 Februari, disusuli insiden lebih parah di GP Qatar apabila dia terbabas dan dilanggar Fabio Di Giannantonio, menyebabkan kecederaan serius termasuk retak tulang rusuk.
Namun, perubahan peraturan MotoGP yang dicadangkan Aprilia sendiri membenarkan pelumba yang terlepas tiga perlumbaan atau lebih perlu menjalani ujian peribadi sebelum kembali bersaing.
Difahamkan, sesi ujian khas itu dijangka berlangsung di Litar Misano pada 8 atau 9 Julai, walaupun lokasi sebenar belum disahkan secara rasmi.
Martin dijangka membuat kemunculan semula di Grand Prix Republik Czech (17–20 Julai), manakala Sachsenring di Jerman (13 Julai) tidak menjadi pilihan kerana litar yang terlalu teknikal dan berisiko tinggi untuk pelumba yang baharu pulih. – AGENSI