PETALING JAYA – Kementerian Perpaduan Negara dalam proses mengkaji keperluan untuk menggubal atau meminda undang-undang berkaitan mediasi komuniti.
Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, penggubalan atau pindaan tersebut sebagai langkah memperkukuh penyelesaian konflik di peringkat akar umbi.
“Saya turut menyuarakan komitmen Kementerian dalam menjadikan pembinaan negara bangsa sebagai teras utama, selari dengan hala tuju Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang akan dibentangkan kelak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kementerian Perpaduan Negara melalui Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional (JPNIN) sebelum ini mewujudkan Pusat Mediasi Komuniti (PMK)
Ia sebagai platform bukan perundangan (litigasi) untuk membantu komuniti menyelesaikan pertikaian dan konflik yang berbangkit di peringkat akar umbi.
Terdahulu, Aaron berkata, beliau menerima jemputan Menteri Kebudayaan, Komuniti dan Belia Singapura untuk menghadiri Third International Conference on Cohesive Societies (ICCS) 2025 di Pusat Konvensyen Raffles City, Singapura.
Menurut beliau, ICCS 2025 merupakan persidangan antarabangsa berprofil tinggi dianjurkan oleh S. Rajaratnam School of International Studies (RSIS)
Kata beliau, persidangan bertemakan ‘Masyarakat Bersepadu, Masa Depan Berdaya Tahan’ itu membincangkan isu-isu global berkait perpaduan, keadilan sosial dan daya tahan komuniti.
“Saya turut berpeluang bertemu Presiden Singapura, Tharman Shanmugaratnam. Dalam pertemuan tersebut, saya berkongsi amalan terbaik Malaysia dalam bidang mediasi komuniti yang kini melibatkan seramai 571 mediator dan 13 pusat mediasi komuniti di seluruh negara.
“Penyertaan dalam persidangan ini bukan sahaja memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura, malah membuka ruang kerjasama serantau dalam usaha memperkasa perpaduan dan keharmonian masyarakat global,” katanya. – KOSMO! ONLINE