HULU TERENGGANU – Majlis Pengurusan Taman Negeri (MPTN) Terengganu mematahkan cubaan dua lelaki warga Kemboja menceroboh Taman Negeri Kenyir, di sini dipercayai untuk mencuri hasil gaharu, baru-baru ini.
Pengarah MPTN Terengganu, Tengku Datuk Mohd. Arifin Tengku A. Rahman berkata, dua suspek berusia 20 hingga 40 tahun itu diberkas dalam Ops Tekah pada 18 Jun lalu.
Katanya, sebelum itu, MPTN Terengganu menerima aduan daripada orang awam yang mengesan kehadiran dua lelaki asing dalam keadaan mencurigakan di kawasan Sungai Tekah, Taman Negeri Kenyir.
“Pemeriksaan mendapati dua suspek itu gagal mengemukakan permit atau kebenaran bertulis untuk memasuki kawasan taman negeri tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Tengku Mohd. Arifin berkata, siasatan awal mendapati dua lelaki Kemboja itu dipercayai memasuki kawasan taman negeri berkenaan untuk mencuri hasil gaharu.
Tambahnya, kedua-dua suspek direman selama 14 hari sehingga 2 Julai ini untuk siasatan di bawah Seksyen 18(1)(j) dan Seksyen 20(1) Enakmen Taman Negeri Terengganu 2017. – KOSMO! ONLINE