JAKARTA – Seorang lelaki di Kotamobagu, wilayah Sulawesi Utara meluahkan rasa kesal kerana membunuh isterinya yang dicintai hanya disebabkan cemburu, lapor laman berita Tribunnews hari ini.
Suspek, Sandri Pratama Ginoga berkata, dia tidak menyangka akan kehilangan isterinya, Juwita Pontoh, 37, disebabkan perbuatannya sendiri.
Dalam kejadian ketika waktu dinihari semalam, suspek yang berusia 36 tahun berkata, dia berasa cemburu melihat hubungan rapat isterinya dengan lelaki lain.
Dia pada awalnya merancang keluar dari rumah untuk membeli rokok, namun tanpa disedari, dia mengambil sebilah pisau daripada kereta dan kembali ke bilik sewa mereka.
“Namun, disebabkan terlalu beremosi, suspek menikam mangsa sebanyak empat kali iaitu tiga kali di dada dan satu di paha kiri,” kata Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Kotamobagu, Asisten Komisioner Agus Sumandik.
Tambah Agus, mangsa sempat melawan dan memukul suspek, namun permintaan suspek agar isterinya berhenti menghinanya tidak diendahkan.
“Ia membuatkan suspek menikam mangsa sehingga dia rebah ke lantai dalam keadaan berlumuran darah,” kata Agus.
Pemilik bilik sewa pasangan itu kemudian tiba selepas mendengar bunyi pergelutan, namun suspek dikatakan berdiri di hadapan pintu dalam keadaan sugul.
“Saya bergaduh dengan isteri dan dia menghina saya. Dia mungkin tidak dapat diselamatkan. Saya akan ke balai polis dan menyerah diri,” kata suspek kepada pemilik bilik sewa itu.
Suspek kini ditahan untuk tindakan lanjut. – AGENSI