PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail melahirkan rasa dukacita atas pemergian isteri kepada Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg awal pagi tadi.
Anwar berkata, beliau dan keluarga berasa amat sedih menerima berita pemergian Puan Sri Juma’ani Tuanku Bujang dan berharap seluruh keluarga Abang Johari tabah menerima ujian tersebut.
“Seluruh ingatan kami pada keluarga Allahyarhamah terutama buat Abang Jo yang baru saya temui semalam. Moga terus sabar dan tabah menerima ujian ini.
“Kami sekeluarga menitipkan doa semoga roh Allahyarham diampunkan segala dosanya dan dikurniakan tempat yang istimewa di sisi-Nya. Al-Fatihah,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Terdahulu, Kosmo! Online hari ini melaporkan Isteri kepada Premier Sarawak meninggal dunia pada usia 76 tahun, pukul 3.34 pagi tadi di Pusat Perubatan Normah, Kuching.
Majlis penghormatan terakhir akan diadakan di Masjid Jamek, Petra Jaya, Kuching bermula pukul 10 pagi ini hingga 12 tengah hari sebelum jenazah kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Semariang, Petra Jaya. – KOSMO! ONLINE