SEBERANG PERAI – Seorang ejen insurans terpaksa ‘gigit jari’ apabila wang simpanan bernilai hampir RM1.5 juta lesap angkara terpedaya dengan skim pelaburan dalam talian palsu, baru-baru ini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, lelaki dari Perai yang berusia 57 tahun itu tampil membuat laporan di Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah semalam.
Katanya, mangsa telah melihat satu iklan pelaburan saham menerusi aplikasi Facebook pada penghujung Disember lalu.
“Mangsa kemudiannya berhubung dengan suspek iaitu seorang wanita melalui aplikasi WhatsApp sebelum ditawarkan pelbagai pakej pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi. Mangsa kemudiannya memuat turun aplikasi XGI Horizon dan mendaftar sebagai ahli seterusnya membuat pelaburan bermula 30 Disember.
“Pindahan pertama berjumlah RM9,999 membuatkan mangsa memperoleh keuntungan sebanyak RM18,400, maka mangsa melakukan 35 lagi transaksi antara 17 Februari hingga 24 April ke dalam tujuh akaun bank milik syarikat berbeza,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau bagaimanapun berkata, mangsa menyedari dirinya ditipu apabila gagal mengeluarkan wang keuntungan menerusi aplikasi terbabit malah diminta melakukan pembayaran tambahan sebagai syarat pengeluaran. -KOSMO! ONLINE