LONDON – Selepas perpindahan Trent Alexander-Arnold ke Real Madrid, Liverpool berkemungkinan hilang seorang lagi pertahanan penting, Andy Robertson yang kini menarik minat satu lagi kelab Sepanyol, Atletico Madrid.
Walaupun baru saja mengesahkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL), kapten Scotland itu dilaporkan sudah memberikan lampu hijau untuk merealisasikan perpindahannya ke Sepanyol.
The Reds juga dikatakan bersikap terbuka melepaskan Robertson dan bersedia untuk memberikan tawaran berpatutan kepada Atletico sekiranya mahu melengkapkan perpindahan berkenaan.
Selain itu, kelab Sepanyol berkenaan juga dikatakan bersedia untuk mendapatkan dua pemain daripada Liverpool termasuk Darwin Nunez yang sebelum ini menolak tawaran daripada Arab Saudi.
Sekiranya perpindahan itu dapat dimuktamadkan, ia akan memberikan dana tambahan buat pengurus Liverpool, Arne Slot yang kini sedang berusaha keras bagi mendapatkan Florian Wirtz dari Bayer Leverkusen.
Berdasarkan data Transfermarkt, penghijrahan Robertson dan Nunez akan menyuntik dana £54 juta (RM311.4 juta) dan ia dijangka memberi manfaat besar buat Liverpool untuk mendapatkan khidmat pemain baharu.
Bagaimanapun, nilai berkenaan mungkin mengurangkan jumlah yang perlu dibayar Liverpool yang kini dikatakan turut meminati khidmat penyerang Atletico, Julian Alvarez. – AGENSI