KUALA LUMPUR – Seorang remaja lelaki orang kurang upaya (OKU) dari Muar, Johor merayu untuk diselamatkan selepas dipercayai menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia dan dipaksa bekerja sebagai ‘scammer’ di Kemboja.
Muhammad Nurhaziq Hamidun, 25, yang disahkan sebagai OKU penglihatan dan mental, dilaporkan telah dihantar ke negara itu tanpa pengetahuan keluarga selepas dimaklumkan bahawa dia akan menjalani projek kerja di Selangor.
Bapa Muhammad Nurhaziq, Hamidun Abdul Ahmad, 50, berkata, anaknya sebelum ini bekerja sebagai juruteknik pendawaian elektrik bersama bapa saudaranya di Johor sebelum ‘hilang’ tanpa khabar berita.
“Dia beritahu ada kerja di Selangor, kami percaya. Tetapi selepas beberapa hari, dia terus tidak dapat dihubungi dan kemudian kami dimaklumkan oleh rakannya bahawa dia kini berada di Kemboja dan memohon untuk diselamatkan,” katanya dalam satu sidang akhbar anjuran Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) di sini hari ini.
Dalam pada itu, ibu Muhammad Nurhaziq, Haslinda Saleh,51 ,dalam nada sebak memohon campur tangan segera pihak kedutaan dan kerajaan Malaysia untuk membawa pulang anaknya.
“Saya rayu kepada pihak berkuasa supaya bebaskan anak saya secepat mungkin. Dia seorang anak OKU. Kami bimbang akan keselamatan dan keadaan dirinya di sana,” katanya.
Menurut Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim, Muhammad Nurhaziq telah menghubungi seorang kawan wanita di tanah air dan merayu agar dia dapat dibawa pulang ke tanah air.
“Dia merayu pulang. Apa yang membimbangkan ialah keadaan dirinya yang merupakan OKU. Sekilas pandang nampak seperti normal, tetapi sebenarnya dia mengalami masalah penglihatan dan mental yang telah disahkan serta memiliki kad OKU,” katanya.
Hishamuddin berkata, keadaan di pusat-pusat ‘scam’ atau penipuan di Kemboja amat membimbangkan terutama kepada mangsa yang tidak mampu mencapai sasaran yang ditetapkan sindiket.
“Mereka yang gagal biasanya akan dipukul, dikurung dalam bilik gelap atau tidak diberi makan. Kita khuatir sindiket tersebut tidak mengetahui status kesihatan mangsa,” jelasnya.
Menurutnya Hishamuddin, keluarga mangsa telah membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Pasir, Muar, Johor pada 8 Jun lalu, dan kini MHO menyeru agar pihak Kedutaan Malaysia di Kemboja bertindak segera.
Beliau juga mencadangkan agar operasi menyelamat yang dijalankan oleh pihak berkuasa Kemboja lebih menyeluruh dan tidak terhad kepada individu tertentu yang tersenarai sahaja.
“Kita faham sebelum ini ada kes wanita Melayu yang anaknya berjaya diselamatkan hasil operasi Task Force di Kemboja. Tapi kadang kala mereka hanya ambil yang ada dalam senarai. Kita cadangkan supaya semua yang terperangkap diambil tanpa perlu tunggu nama atau gambar tertentu,” katanya.
MHO turut meminta orang ramai yang berada di Kemboja dan mengetahui lokasi mangsa untuk tampil memberi maklumat bagi mempercepatkan usaha menyelamat.
“Kita terpaksa dedahkan wajah dan nama mangsa atas persetujuan keluarga kerana tidak tahu lokasi sebenar dia berada. Jika ada yang tahu, tolong bantu,” ujarnya.
Tambahnya, status OKU yang dimiliki mangsa seharusnya menjadi keutamaan dalam sebarang usaha menyelamat kerana dia memerlukan perlindungan dan perhatian khusus. – KOSMO! ONLINE