fbpx
Operasi mencari lelaki yang dilaporkan hilang di Kampung Sira, Padawan digerakkan sejurus anggota bomba tiba di lokasi kejadian.

Disangka hilang selepas kenduri, rupanya tertidur tepi mesin basuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUCHING – Kehilangan seorang lelaki selepas menghadiri majlis perkahwinan di Kampung Sira, Padawan awal pagi tadi berakhir dengan kelegaan apabila dia ditemui sedang nyenyak tidur di rumah jiran.

Kejadian itu pada mulanya mencetuskan kebimbangan ahli keluarga selepas lelaki berkenaan gagal dikesan sejurus menghadiri majlis perkahwinan di kampung tersebut sebelum bantuan pihak berkuasa dipohon untuk menjalankan pencarian.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kehilangan lelaki itu pada pukul 4.39 pagi.

Menurutnya, susulan laporan diterima, dua anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan bersama sebuah kenderaan pacuan empat roda dikejarkan ke lokasi dan tiba pada pukul 5.14 pagi.

“Siasatan awal mendapati mangsa yang juga abang ipar kepada pengadu menghadiri majlis perkahwinan di gereja di kampung berkenaan malam tadi sebelum dilaporkan hilang.

“Selesai makan dan minum di majlis itu, mangsa dikatakan keluar untuk membuang air kecil pada jarak kira-kira lapan meter dari rumah saudaranya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, anggota bomba yang tiba di lokasi segera mendapatkan maklumat berkaitan kehilangan mangsa sebelum melancarkan operasi pencarian bersama polis, ahli keluarga dan penduduk kampung.

“Mangsa berjaya ditemui oleh penduduk kampung dalam keadaan selamat kira-kira pukul 6 pagi ketika sedang tertidur di sebelah mesin basuh di rumah jiran,” ujarnya.

“Lelaki berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 6.09 pagi,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN