DAMSYIK – Syria mewajibkan wanita memakai baju renang tertutup di seluruh pantai dan kolam awam sebagai sebahagian daripada kod etika berpakaian baharu yang konservatif, lapor saluran berita CNN.
Keputusan itu dibuat selepas kumpulan pemberontak menggulingkan rejim bekas Presiden, Bashar al-Assad pada Disember tahun lepas.
Kementerian Pelancongan menegaskan bahawa garis panduan baharu itu dilaksanakan demi kepentingan awam.
“Pengunjung pantai atau kolam renang awam, sama ada pelancong atau penduduk tempatan dikehendaki memakai baju renang bersesuaian yang menjaga sensitiviti pelbagai segmen masyarakat.
“Pakaian renang tertutup diwajibkan ketika berkunjung ke pantai dan kolam renang awam. Apabila berjalan antara pantai dan tempat lain, wanita perlu memakai jubah yang longgar berbanding pakaian renang,” kata Menteri Pelancongan, Mazen al-Salhani di laman Facebook.
Di bawah panduan baharu itu, lelaki juga tidak dibenarkan hanya berseluar (topless) ketika berada di tempat awam, luar kawasan renang, lobi hotel dan kawasan perkhidmatan makanan.
“Kawasan awam seperti luar pantai dan kolam renang adalah lebih baik memakai pakaian longgar, menutup bahu dan lutut serta mengelakkan pakaian lutsinar atau terlalu ketat,” demikian menurut arahan itu. – AGENSI