PETALING JAYA – Telekom Malaysia (TM) akan terus memberi kerjasama penuh kepada Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) susulan kes bekas pegawai kanan TM USA Inc didakwa terlibat dalam penyelewengan dana lebih AS$20 juta.
Menurut kenyataan syarikat telekomunikasi tersebut, pihaknya sebelum ini telah memulakan siasatan sendiri selepas mengesyaki berlaku salah laku individu terbabit, seterusnya membawa kepada pemecatan mereka.
“Maklumat daripada siasatan itu kemudiannya dikongsi dengan pihak berkuasa berkaitan. Perkara ini kini berada di bawah bidang kuasa DOJ dan mahkamah Amerika Syarikat,” menurut TM hari ini.
Dalam masa sama, syarikat tersebut mematuhi standard tadbir urus dan pematuhan ketat serta tidak bertolak ansur terhadap sebarang bentuk salah laku.
Terdahulu, tiga bekas pegawai kanan anak syarikat TM dihadapkan ke mahkamah Amerika Syarikat atas tuduhan menyeleweng lebih AS$20 juta daripada syarikat telekomunikasi milik Malaysia.
Memetik kenyataan DOJ, tertuduh, Mohd. Hafiz Lockman, Mohd. Yuzaimi Yusof dan Khanh Thuong Nguyen, masing-masing bekas eksekutif kanan di anak syarikat TM di negara berkenaan.
Mereka didakwa menggunakan kenyataan palsu dan rekod dipalsukan untuk menyalurkan dana syarikat secara haram serta memperdaya rakan niaga, pembekal, juruaudit dan penyelia di AS dalam pelbagai kejadian antara Julai 2020 hingga Februari 2026. – KOSMO! ONLINE














