PETALING JAYA – Jasa seseorang individu terhadap negara biarpun selama ratusan tahun tidak boleh dijadikan alasan untuk membiarkan perbuatan rasuah, penyelewengan dan rompakan harta rakyat terus berlaku.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, sikap berkompromi dengan rasuah hanya kerana mengenang jasa seseorang adalah bertentangan dengan ajaran Islam.
Menurut beliau, budaya bertoleransi terhadap salah laku termasuk rasuah merupakan antara perkara yang boleh merosakkan negara sekiranya terus dibiarkan.
“Jasa ratusan tahun sekalipun tidak boleh menjadi alasan untuk kita membiarkan sesiapa menyakau dan merompak harta rakyat dan negara. Sikap berkompromi dengan rasuah atas nama jasa ini jauh daripada ajaran Islam,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Dalam hantaran sama, Anwar turut berkongsi petikan ucapannya pada Forum Ilmuwan Madani Siri 14 yang menyentuh mengenai budaya permissiveness atau sikap terlalu berkompromi terhadap kesalahan.
Beliau memetik pandangan pemimpin Indonesia, Muhammad Natsir mengenai bahaya budaya tersebut apabila masyarakat mula menganggap kesalahan kecil sebagai perkara biasa.
“Semua okey. Rosak sikit, okey. Curi sikit, okey. Sikit berapa? Bilion, okey. Jadi, this tolerance for evil yang merosakkan kita,” katanya.
Sehubungan itu, Anwar menyeru masyarakat yang membenci dan menentang rasuah supaya lebih lantang menyuarakan pendirian terhadap gejala berkenaan.
Katanya, mesej jelas perlu disampaikan bahawa mereka yang melakukan rasuah tidak seharusnya terlepas daripada menerima hukuman sewajarnya.
“Kita yang benci dan menentang rasuah perlu bersuara lebih lantang, sampaikan mesej jelas bahawa pelaku rasuah tempatnya di penjara,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE
















