fbpx
Pekerja kontraktor KTMB melakukan kerja-kerja pembinaan landasan kereta api di laluan antara Stesen Bandar Tasik Selatan ke Stesen Kajang hari ini. Foto oleh FAUZI BAHARUDIN/KOSMO! ONLINE

Projek KVDT2 dijangka siap lebih awal daripada jangkaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Projek naik taraf landasan Kereta Api Berkembar Lembah Klang Fasa 2 (KVDT2) dijangka siap lebih awal daripada jadual asal iaitu pada tahun 2027 berbanding sasaran asal 2029.

Ketua Pegawai Operasi KTMB, Afzar Zakariya berkata, percepatan projek itu dapat dilaksanakan hasil kerjasama rapat antara kerajaan, KTMB, Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dan kontraktor.

Menurutnya, pelaksanaan ‘line block’ lebih panjang ketika ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada pengguna, namun ia membantu mempercepatkan proses naik taraf landasan terbabit.

“Berbeza dengan kebanyakan projek lain yang sering mengalami kelewatan, projek ini sebenarnya bergerak lebih awal daripada jadual asal. Dengan kerjasama semua pihak, kami sasarkan projek ini siap pada 2027 berbanding jadual asal 2029,” katanya pada sidang akhbar selepas Lawatan Media ke Projek Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa 2 (KVDT 2), hari ini.

Afzar berkata, projek sepanjang 66 kilometer dari Bandar Tasik Selatan ke Seremban itu melibatkan kerja naik taraf sistem landasan, semboyan dan elektrifikasi yang telah digunakan sejak tahun 1994.

Katanya, antara manfaat utama projek tersebut ialah meningkatkan keselamatan operasi tren, keselesaan penumpang serta menambah kekerapan perkhidmatan KTM Komuter.

“Ketika ini kekerapan minimum adalah setiap 20 minit dan selepas siap nanti ia mungkin dapat ditingkatkan kepada 15 minit atau 7.5 minit di beberapa sektor tertentu,” ujarnya.

Beliau berkata, projek itu turut menyokong inisiatif ‘road-to-rail’ kerajaan apabila landasan baharu mampu menampung beban sehingga 20 tan berbanding 16 tan sebelum ini.

Dalam perkembangan sama, Afzar berkata, KTMB turut melaksanakan kerja naik taraf fasiliti stesen termasuk pemasangan lif dan kemudahan orang kurang upaya (OKU) di beberapa lokasi terpilih. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN