fbpx

[VIDEO] Gaduh dengan bini punca Aruz dipandu lawan arus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TANGKAP layar rakaman video tular memaparkan sebuah Perodua Aruz berwarna biru memandu melawan arus di Jalan Skudai-Pantai Lido, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Seorang pemandu Perodua Aruz mendakwa pertengkaran dengan isterinya menyebabkan dia tersalah memasuki laluan dan memandu secara melawan arus di Jalan Skudai-Pantai Lido, di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian itu tular dalam media sosial sebelum dikesan pihaknya pada pukul 9.10 malam semalam.

Menurut beliau, pemandu berusia 34 tahun ditahan selepas menyerah diri di Balai Polis Trafik Johor Bahru Selatan hari yang sama.

“Siasatan mendapati kejadian berlaku pada pukul 1.41 pagi kelmarin, apabila kenderaan jenis Perodua Aruz berwarna biru dikesan memandu melawan arus di laluan berkenaan.

“Pengadu memaklumkan ketika kejadian, dia berselisih faham dengan isterinya hingga hilang fokus pemanduan dan memasuki lorong bertentangan,” katanya di sini hari ini.

Tambah Raub, ujian saringan air kencing mendapati pemandu bebas sebarang penyalahgunaan dadah dan alkohol.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara melulu dan berbahaya,” katanya.

Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi satu minit 32 saat memaparkan sebuah kenderaan jenis Perodua Aruz berwarna biru memandu di laluan bertentangan di Jalan Skudai-Pantai Lido.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI