MARAN – Ketum yang sering dikaitkan dengan aktiviti penagihan dalam kalangan masyarakat setempat sebenarnya mempunyai nilai komersial berdasarkan pelbagai kajian yang dilakukan ke atas tumbuhan dikenali sebagai Pokok Biak itu.
Malah, kebaikan yang ada pada ketum bukan lagi mitos apabila tumbuhan itu mempunyai manfaat perubatan serta mampu meningkatkan tenaga.
Hasil kajian turut memberi sinar baharu kepada masalah ketagihan dadah yang masih berlarutan apabila tumbuhan itu mampu merawat ketagihan dadah seperti morfin seterusnya memulihkan para penagih.
Kajian di peringkat makmal yang dilakukan turut membuktikan ketum mempunyai keupayaan untuk menurunkan paras gula dan memberikan tenaga.
Rektor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pahang, Profesor Dr. Mohd. Ilham Adenan berkata, tumbuhan dengan nama saintifik Mitragyna Speciosa itu berpotensi dimanfaatkan dalam aspek kesihatan dan juga ekonomi.
Beliau yang terlibat dalam penyelidikan ketum sejak 2010 berkata, adalah wajar bagi pihak kerajaan mencari kaedah yang sesuai bagi melaksanakan pengkormesialan ketum secara terkawal di negara ini.
“Sebagai contoh Amerika Syarikat yang banyak menggunakan ketum dan pengimport utama ketum khususnya dari negara jiran Indonesia.
“Bagaimanapun, jika pengkormesialan dilakukan di negara kita, ia perlu dilaksanakan dalam keadaan terkawal dari segi penanaman dan penghasilan produk,” katanya ketika ditemui di UiTM Pahang Kampus Jengka di sini baru-baru ini.

Menurutnya, kajian yang dilakukan mendapati ketum boleh dijadikan pengganti kepada ketagihan morfin dengan dos dan kadar kepekatan yang rendah dan terkawal selain mampu memberi tenaga.
“Bahan kimia mitrgaynine dalam ketum berupaya menurunkan ketagihan morfin dalam sel neuroblastoma manusia dan kajian ini telah diterbitkan dalam sebuah jurnal yang mengaitkan potensi daun ketum untuk digunakan sebagai rawatan alternatif ketagihan morfin dalam kepekatan rendah.
“Seorang penagih dadah morfin tidak akan dapat morfin dan ia boleh gunakan ketum untuk merawat ketagihan yang mana kaedah ini dipanggil replacement,” katanya.
Mengulas mengenai kesan penggambilan ketum dalam kalangan pesakit diabetes, beliau berkata, ketika ini kajian hanya di peringkat makmal dan belum sampai ke peringkat klinikal yang menunjukkan kesan untuk menurunkan paras gula dalam badan.
Sementara itu, Mohd. Ilham berkata, meskipun ketum mempunyai manfaat berdasarkan kajian yang telah dan sedang dilakukan, namun aspek kawalan perlu ditekankan bagi memastikan ia tidak digunakan secara berlebihan.
Ujarnya, penggunaan ketum perlulah dalam pekatan yang rendah selain tidak boleh dicampurkan dengan bahan lain.-K! ONLINE















