fbpx
Di Thailand, kemalangan maut akibat kecuaian pemandu tertakluk di bawah Kanun Keseksaan.

Langgar mati orang Thailand, bersedia ganti rugi ratusan ribu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BUKIT KAYU HITAM – Di sebalik keghairahan makan angin di Thailand, rakyat Malaysia diingatkan supaya ‘celik’ undang-undang ba­gi mengelak sengsara terutama jika terbabit kemalangan yang mengorbankan nyawa.

Ini kerana undang-undang atau peraturan di sesebuah negara itu adalah berbeza dengan negara lain.

Di Thailand misalnya, rakyat asing yang terbabit dalam nahas jalan raya perlu berdepan tindakan mahkamah termasuk penjara se­kiranya didapati cuai selain tuntutan ganti rugi daripada mang­sa dan keluarga yang terlibat.

Mendedahkan perkara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pe­ngarah Urusan ANF Asia Glo­bal Services Sdn. Bhd., Mohd. Fairuz Mohd. Yusof berkata, ini kerana terdapat rak­yat Malaysia berdepan tuntutan ganti rugi RM293,066 selepas terbabit nahas yang meragut dua nyawa di negara jiran hujung tahun lalu.

Menurut beliau, pampasan itu dipersetujui oleh kedua-dua pihak di peringkat Balai Polis Phichit.

“Pekerja swasta itu bernasib baik kerana mengambil compulsory insurans (CI) dan voluntary insurans (VI) yang banyak membantunya dalam menanggung kos tuntutan tersebut.

“Ganti rugi nyawa pemandu tempatan (Thailand) adalah sebanyak 800,000 baht (RM103,888), manakala penum­pang tempatan pula 1.5 juta baht (RM194,794).

“Syarikat insurans menjelaskan sebanyak 1.8 juta baht (RM233,753) kepada keluarga si mati,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Mohd. Fairuz memberitahu, syarikat insurans menanggung sehingga satu juta baht bagi setiap mangsa yang meninggal dunia, namun dalam kes itu, terdapat bayaran tambahan 500,000 baht (RM64,932) diberikan kepada keluarga mangsa yang merupakan pembonceng motosikal.

“Di Thailand, waris mangsa maut yang merupakan penum­pang kenderaan boleh menuntut tambahan kos ganti rugi.

“Pihak kami berjaya mengurangkan tambahan kos ganti rugi nyawa dari 500,000 baht kepada 280,000 baht (RM36,362),” katanya.

Mohd. Fairuz berkata, baki tuntutan itu bagaimanapun terpaksa dibayar oleh rakyat Malaysia terbabit yang mana jumlah tersebut sudah dikurangkan berbanding pampasan sebenar yang perlu dibayar.

“Bayangkan bagaimana dia perlu menjelaskan tuntutan itu sekiranya tidak mengambil VI. Ada kemungkinan dia terpaksa menanggung tuntutan tersebut yang mencecah ratusan ribu ringgit,” ujarnya.

Jelas beliau, terdapat rakyat Malaysia yang terpaksa membuat pinjaman dan menjual aset seperti tanah untuk melangsaikan semua tuntutan yang dibuat pihak mangsa atau keluarganya di negara tersebut.

Tambahnya, bagi kes kemalangan itu, pelanggannya masih dalam proses perbicaraan di mahkamah Thailand dan pihak­nya turut membantu sepanjang prosiding berkenaan.

Sementara itu, aktivis, Abdul Halim Othman, 56, atau lebih dikenali sebagai Cikgu Joe Satun berkata, rakyat asing yang terlibat kemalangan maut di Thailand berisiko menanggung tuntutan ganti rugi nyawa yang tinggi, selain penjara jika didapati cuai.

Katanya, CI mempunyai had perlindungan iaitu kos perubatan sehingga 80,000 baht (RM10,390) dan pampasan kematian sehingga 500,000 baht (RM64,939) bagi seorang mangsa.

“Perlindungan insurans asas itu sudah pasti tidak mencukupi kerana ada kes waris si mati menun­tut sehingga 1,000,000 baht (RM129,877) seorang,” katanya.

Jelas Abdul Halim, tuntutan yang melebihi nilai had insu­rans boleh dibuat waris si mati di mahkamah dan ia perlu dibayar sendiri oleh individu terlibat sekiranya mahkamah mengarahkan mereka berbuat demikian.

Justeru, beliau memberitahu, insurans tambahan seperti VI dilihat sangat penting kerana nilai perlindungannya lebih tinggi iaitu sehingga 10 juta baht (RM1.29 juta) mengikut jenis polisi yang diambil.

Menurut lelaki itu, ketika ini masih ramai rakyat Malaysia yang masuk ke negara jiran ha­nya sekadar mengambil CI.

“Mereka tidak ambil serius dan memberi pelbagai alasan termasuk yang tidak masuk akal seperti kenal pemandu tuk tuk. Ramai yang masih ambil mudah, bila kemalangan terjadi baru hendak menyesal,” katanya.

Abdul Halim berkata, di­sebabkan itu, dia sentiasa mengingatkan orang ramai dengan melakukan perkongsian tentang kepentingan insurans lengkap ketika berada di Thailand.

“Selain CI dan VI, kita ada Travel Insurans (TI) dan Extension 101 untuk perlindungan yang lebih komprehensif,” katanya.

Di Thailand, kemalangan maut akibat kecuaian pemandu tertakluk di bawah Kanun Keseksaan (KK) Thailand dan Undang-undang Lalu Lintas dengan implikasi jenayah dan sivil.

Pemandu yang cuai sehingga menyebabkan kematian orang lain boleh disiasat mengikut Seksyen 291KK yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda maksimum 20,000 baht (RM2,597).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN