fbpx
BEBERAPA pengunjung merasai pengalaman di kedai runcit tradisional.

Imbau sejarah di Penang History Gallery

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PEMINAT sejarah pastinya tidak akan melepaskan peluang untuk mengunjungi galeri yang menyimpan pelbagai khazanah dan menceritakan asal-usul sesuatu lokasi.

Lokasi itu mampu menarik lebih ramai pelancong selain memberi peluang kepada generasi muda untuk menghargai sejarah negara.

Dengan hasrat untuk memelihara warisan budaya Pulau Pinang, Penang History Gallery (PHG) yang berkeluasan 929 meter persegi membuka pintunya secara rasmi kepada pengunjung pada April lalu.

Terdapat 38 tema yang ditempatkan dalam galeri tersebut, antaranya adalah perdagangan zaman penjajah, kongsi gelap, Perang Dunia Kedua dan warisan. 

Berkongsi dengan CitaRasa, pengasas PHG, Caitlynn Tan berkata, galeri tersebut diwujudkan hasil penyelidikan teliti berkenaan sejarah Pulau Pinang selama hampir dua tahun.

“Untuk projek ini, kami bekerjasama rapat dengan ahli sejarah dan profesor bertauliah bagi membentuk satu visi yang mampu menggambarkan sejarah Pulau Pinang yang penuh warna-warni.

“Kemudian, kami mendapatkan sekumpulan artis dan individu yang mampu menghasilkan sebuah galeri imersif dalam Tapak Warisan Dunia di bawah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di George Town.

“Galeri ini mampu mendidik dan memberi inspirasi kepada pengunjung tentang warisan pelbagai budaya di Pulau Pinang,” jelasnya.

PARA pengunjung berpeluang mengenali sejarah Pulau Pinang di PHG, George Town yang baru dibuka secara rasmi pada April lalu.

Tan berkata, pengunjung akan dibawa menyusuri perjalanan menarik tentang sejarah Pulau Pinang melalui 38 zon bertema yang dilengkapi teknologi kecerdasan buatan (AI).

Mereka boleh melihat semula suasana bersejarah yang dibina dalam skala sebenar. Misalnya, perkampungan tradisional Melayu dan Cina dengan paparan interaktif dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin.

“AI menghidupkan sejarah melalui Dewan Kemasyhuran maya menampilkan Francis Light, P. Ramlee dan Tunku Abdul Rahman yang ‘bercerita’ tentang penubuhan Pulau Pinang. Foto-foto lama pula dianimasikan bagi mendedahkan butiran kehidupan masa lalu. 

“Satu pengalaman imersif Perang Dunia Kedua turut dibina semula menggunakan AI yang lengkap dengan kesan bunyi dan visual realistik. 

“Lawatan berpandu serta artifak arkib dan kisah lisan yang diperkaya AI menyerlahkan lagi warisan pelbagai budaya Pulau Pinang.

“Ini menjadikan kunjungan di sini satu pengembaraan pendidikan yang tidak dapat dilupakan di George Town,” ungkapnya.

SALAH seorang pengunjung tertarik dengan gambar-gambar lama.

Tan juga menyifatkan galeri itu merupakan satu sumbangan dalam pemeliharaan warisan Pulau Pinang menerusi pembinaan semula suasana sejarah dan amalan budaya yang membentuk identiti pulau tersebut.

PHG menghidupkan semula tempat-tempat seperti Swettenham Pier dan Rumah Serambi Gajah Menyusu dalam bentuk sebenar, lengkap dengan butiran reka bentuk untuk menggambarkan masa lalunya.

Kongsinya lagi, bahagian paling disukainya pada premis itu adalah zon kedai runcit dan kawasan kampung.

“Kedua-dua bahagian ini menghidupkan semula suasana nostalgia sebuah kedai runcit tradisional yang lengkap dengan rak-rak menyerupai kedai semasa saya kecil. 

“Kawasan kampung pula menggambarkan kehidupan desa yang harmoni tak ubah seperti zaman saya membesar,” katanya.

PHG terletak di Lebuh Bishop, George Town. Ia dibuka pada setiap hari dari pukul 10 pagi hingga 8 malam. 

Harga tiket masuk bagi individu dewasa adalah RM35, manakala untuk kanak-kanak dan warga emas RM25.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN