fbpx

Pengusaha premis ‘kebal’ halang laluan kaki lima

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penguat Kuasa MBPP ketika operasi penguatkuasaan di Jalan Rumbai, Bukit Jambul, semalam.

GEORGE TOWN – Tindakan 15 pengusaha premis perniagaan di Jalan Rumbia, Bukit Jambul di sini menghalang kaki lima awam akhirnya memakan diri apabila dikenakan tindakan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), semalam.

MBPP menerusi kenyataan di Facebook berkata, kesemua premis terbabit telah dikenakan tindakan tegas oleh penguat kuasa dalam satu operasi yang dijalankan oleh Jabatan Pelesenan dan Jabatan Penguatkuasaan.

Menurutnya, rampasan melibatkan barangan jualan dan peralatan perniagaan yang diletak atas kaki lima premis perniagaan terbabit.

“Kesemua barangan rampasan dibawa ke stor penguatkuasaan Majlis Bandaraya Pulau Pinang untuk tujuan dokumentasi dan pelupusan,” katanya di sini hari ini.

Jelasnya, tindakan rampasan dilakukan mengikut Seksyen 46(1)(d) , Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 [Akta 133] (Halangan/Galangan Awam) iaitu dengan meletakkan atau menyebabkan diletak apa-apa barang, peralatan atau benda/item/objek yang digunakan untuk atau berhubungan dengan trednya di mana-mana tempat awam.

Dalam perkembangan berkaitan, sebanyak 118 ekor burung gagak berjaya ditembak menerusi
Operasi Menembak Gagak di kawasan Padang Tembak di sini, Ahad lalu.

Dalam operasi khas tersebut, MBPP telah mendapatkan bantuan seramai empat orang penembak dari Kelab Menembak Pulau Pinang.

“Sebelum operasi ini dilaksanakan, taklimat “standard operating procedure” serta aspek-aspek keselamatan telah diberikan kepada para penembak bagi memastikan ianya mengikut tatacara yang telah ditetapkan oleh pihak polis.

“Gagak sering menimbulkan kacau ganggu dengan masalah kebersihan kawasan sekitar disebabkan sifatnya yang liar. Secara teknikal, musim membiak bagi burung gagak adalah dari bulan Julai hingga bulan Disember.

“Sebagai langkah membendung pembiakan burung gagak, MBPP telah menjalankan operasi menembak gagak bermula dari bulan April bagi menggantikan operasi menembak gagak secara one-off,” ujarnya.

Tambah kenyataan itu lagi, MBPP juga turut menjalankan kawalan perangkap gagak yang ditempatkan di 29 lokasi ‘hotspot’ yang telah dikenal pasti di keseluruhan kawasan pulau. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI