PETALING JAYA – Tindakan seorang pelanggan meninggalkan sampah di sebuah restoran terkenal mendapat kecaman ramai.
Melalui satu perkongsian di laman Thread, kejadian itu berlaku apabila terdapat pelanggan yang membawa anak kecil makan di premis berkenaan sebelum membuka beberapa kotak permainan yang baru dibeli.
Namun, apa yang mengecewakan adalah keadaan meja yang ditinggalkan selepas mereka beredar.
“Bawa anak datang makan, buka mainan. Lepas makan, biarkan sampah sebesar alam atas meja macam tu,” tulis hantaran di Thread Supermateh.
Katanya, tindakan tersebut bukan sahaja menyusahkan pekerja restoran, malah menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab kerana pekerja terpaksa menguruskan sampah berkenaan.
Tinjauan di ruang komen mendapati hantaran itu turut mengundang pelbagai reaksi netizen yang rata-rata bersetuju bahawa kebersihan adalah tanggungjawab bersama, walaupun berada di tempat makan.
“Apa sahaja yang kita bawa dari luar sepatutnya kita perlu bawa balik keluar. Mari normalisasikan begitu,” kata Alkisahanakpakusin.
“Agak-agaklah tinggal sampah dekat tempat orang. Kasihan pekerja satu hal nak kena buang. Dahlah sampah besar, kita ini sampah kecil pun bawa keluar sekali,” kata Nreiman.
“Dia ingat service tax dia bayar tu sekali dengan buang sampah yang bukan asal dari kedai. Nanti suruh dia datang bawa sampah kat rumah sekali. Boleh pekerja tolong buangkan,” kata Dxnix. – KOSMO! ONLINE














