LONDON – Manchester United berdepan resah menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Brentford awal pagi esok apabila dua tonggak utama, Bryan Mbeumo dan Matheus Cunha dilapor berdepan isu kecederaan.
Kehadiran kedua-dua pemain itu dilihat cukup penting buat skuad kendalian Michael Carrick yang sedang berusaha mengekalkan momentum positif selepas kemenangan tipis ke atas Chelsea minggu lalu.
Cunha sebelum ini terpaksa dikeluarkan ketika aksi tersebut selepas mengalami ketidakselesaan di bahagian pangkal paha kanan, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap tahap kecergasannya.
Situasi sama turut menimpa Mbeumo yang dilihat terhincut-hincut pada penghujung perlawanan sebelum digantikan, namun perkembangannya dilihat lebih positif apabila sudah kembali menjalani latihan.
Bagaimanapun, Carrick memilih untuk tidak memberikan gambaran jelas mengenai status kedua-dua pemain tersebut menjelang pertemuan penting itu.
Dalam perkembangan lain, pertahanan muda Leny Yoro turut menjadi tanda tanya apabila masih belum kembali berlatih sepenuhnya selepas mengalami kecederaan ringan.
“Kami masih memantau keadaannya. Ada kemungkinan dia boleh kembali, tetapi buat masa ini belum pasti sepenuhnya,” kata Carrick.
United bagaimanapun menerima sedikit kelegaan apabila Harry Maguire kembali daripada penggantungan, namun masih kehilangan beberapa pemain utama termasuk Lisandro Martinez yang digantung, manakala Matthijs de Ligt yang belum pulih sepenuhnya. – AGENSI














