MANCHESTER – Manchester United dilaporkan bersedia memperkukuh usaha mendapatkan khidmat pemain tengah Newcastle United, Sandro Tonali yang kini muncul sebagai antara sasaran utama kelab itu menjelang jendela perpindahan musim panas.
Pengurusan The Red Devils difahamkan mahu memperkukuhkan lagi bahagian tengah meskipun sudah mencapai persetujuan untuk membawa masuk bintang Atalanta, Ederson dalam perpindahan bernilai £35 juta (RM187.96 juta).
Pengendali United, Michael Carrick dilaporkan mahu menambah sekurang-kurangnya dua pemain tengah baharu bagi menghadapi saingan padat musim depan yang merangkumi Liga Perdana Inggeris (EPL), Liga Juara-Juara, Piala FA dan Piala Liga.
Menurut laporan, United kini berada dalam kelompok hadapan untuk mendapatkan Tonali, namun bakal menerima saingan sengit daripada Arsenal dan Manchester City.
Bagaimanapun, City dikatakan lebih memberi keutamaan kepada pemain tengah Nottingham Forest, Elliot Anderson sekali gus membuka ruang lebih besar buat United dan Arsenal memburu tandatangan pemain antarabangsa Itali itu.
Tonali yang masih mempunyai kontrak sehingga 2028 menjadi tonggak penting Newcastle sejak menyertai kelab tersebut daripada AC Milan pada 2023 dengan menyumbang 10 gol dan 10 bantuan jaringan setakat ini.
Bagaimanapun, ia memerlukan tekad yang kuat buat United apabila mereka perlu menyediakan dana besar selepas Newcastle meletakkan tanda harga sehingga £100 juta (RM537.96 juta) untuk membolehkan mereka melepaskan pemain itu.
Ejen Tonali, Giuseppe Riso sebelum ini turut membayangkan bahawa sasaran utama pemain tersebut sejak berhijrah ke England adalah untuk muncul sebagai antara bintang terbesar Liga Perdana Inggeris.
“Memang itu matlamatnya sejak dia datang ke England, iaitu untuk menjadikannya seorang pemain bertaraf bintang. Saya fikir dia adalah antara pemain bola sepak Itali yang mempunyai nilai pasaran tertinggi di dunia ketika ini,” katanya. – AGENSI














