KOTA TINGGI – Tiga individu termasuk seorang wanita warga Vietnam maut selepas ditembak dalam satu kejadian di sebuah restoran di Kota Jaya, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 tengah hari itu, mangsa terdiri daripada dua lelaki warga tempatan dan seorang wanita berusia antara 37 hingga 63 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tembakan senjata api.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, pihaknya menerima laporan berhubung insiden tersebut sebelum sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi bersama Bahagian Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor digerakkan ke lokasi.
“Bertindak atas maklumat, seorang lelaki warga tempatan berusia 71 tahun berjaya ditahan kira-kira pukul 2 petang, hanya sekitar 200 meter dari tempat kejadian.
“Polis turut merampas sepucuk senjata api jenis shotgun dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan memiliki lesen senjata api yang sah.
“Setakat ini, motif kejadian masih dalam siasatan. Bagaimanapun, siasatan awal tidak menemukan sebarang kaitan dengan unsur kongsi gelap atau keganasan. Polis tidak menolak kemungkinan kejadian berpunca daripada masalah hutang peribadi,” ujarnya.
Tambah beliau, permohonan reman terhadap suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Kota Tinggi esok. – KOSMO! ONLINE














