IPOH – “Kenapa lori langgar sampai ayah (sampai) mati. Siapa nak main masak-masak dengan adik.”
Demikian pertanyaan yang diajukan Nur Aqeela Rawida, 6, anak bongsu Sarjan Mohd. Roslan Abd. Rahim yang maut dalam nahas membabitkan trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan lori muatan batu di Kilometer 15, Jalan Sungai Manik, Teluk Intan Selasa lalu.
Isteri Allahyarham Mohd. Roslan, Nur Aini Samiun, 44, berkata, tiga anak mereka terkesan dengan kehilangan suaminya memandangkan hubungan mereka anak beranak begitu akrab.
“Suami memang rapat dengan anak-anak. Kalau saya penat, arwah yang bantu uruskan mereka.
“Sejak kejadian (nahas) itu, dia (Nur Aqeela) hari-hari menangis dalam tidur. Sebelum ini tiada pun. Anak nombor dua (Muhd. Riqzi Nazhan) pula lebih banyak pendam.
“Untuk tenangkan mereka, saya akan peluk anak-anak. Saya dan arwah suami memang suka peluk anak-anak,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Kinding Raya, Tanjung Rambutan di sini hari ini.
Terdahulu, ibu kepada tiga anak itu menerima kunjungan Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datin Seri Norliza Abdul Rahim menerusi Program Ziarah Kasih PTPTN.
Dalam kunjungan itu, Norliza menyampaikan sumbangan berjumlah RM193,000 kepada Nur Aini merangkumi manfaat caruman melalui Simpan SSPN Prime dan SSPN PLUS selain perlindungan takaful dan khairat kematian.
Bercerita lanjut, Nur Aini berkata, dia perlu menguatkan semangat bukan sahaja untuk dirinya, tetapi anak-anak yang memerlukan perhatian terutama anak sulung, Muhd. Raqin Najmi, 13, yang menghidap sindrom Down.
“Alhamdulillah, saya semakin okey. Cuma biasalah, kadang-kadang apabila ingatan datang, sedihlah, tapi saya perlu kuat untuk anak-anak.
“Kalau saya menangis air mata darah sekalipun arwah suami tak akan kembali,” kata wanita itu.
Ditanya mengenai hasrat majikan pemandu lori yang mahu bertemu dengan keluarga mangsa untuk meminta maaf, Nur Aini memaklumkan, dia belum terfikir mengenai perkara tersebut.
“Saya tak boleh nak cakap, sebab saya blank (buntu). Saya tak fikir lagi sebab banyak perkara yang perlu diuruskan. Lagipun, dia sendiri pun tak prihatin dan bertanggungjawab dengan pekerja. Bertanggungjawab ke dia?” soalnya. – KOSMO! ONLINE