Kelmarin merupakan hari yang cukup menggembirakan buat rakyat Malaysia khususnya ahli keluarga Jaslinda Saludin.
Selepas 15 hari hilang ketika mendaki Bukit Batu Puteh di Tapah, Perak, wanita berusia 49 tahun itu ditemui dalam keadaan selamat oleh Orang Asli yang menyertai operasi mencari dan menyelamat.
Doa siapa yang makbul pun kita tidak tahu. Apa yang pasti ramai mahu dia selamat walaupun tidak mengenali dan hanya mengikuti berita mengenai kehilangannya menerusi media massa.
Ternyata teori dan andaian negatif yang dibuat meleset sama sekali. Jaslinda bukan disorok makhluk halus, sudah meninggal dunia akibat dimakan binatang buas atau gagal bertahan akibat kedinginan malam di hutan yang menggigit.
Tindakannya yang mengikut aliran sungai dan sentiasa minum air menyebabkan dia terselamat walaupun tidak dapat menjamah makanan. Apa yang jadi selama 15 hari itu, kita simpan dahulu.
Kisah Jaslinda mendapat perhatian meluas sejak dua minggu lalu. Pelbagai versi dan spekulasi sebelah pihak yang kita dengar selama kehilangannya. Pengakuannya kelak akan menghuraikan segala persoalan dan menutup tuduhan yang timbul.
Kita mengharapkan kisah Jaslinda yang tersasar ketika hendak menuruni puncak Gunung Batu Puteh menjadi pengajaran kepada semua pendaki supaya sentiasa berada dalam kumpulan dan membawa peralatan lengkap apabila masuk ke dalam hutan.
Apabila operasi mencari dan menyelamat dilancarkan, sudah tentu ia melibatkan kos, tenaga dan masa anggota penyelamat.
Bagaimanapun, seperti yang kita maklum, sememangnya budaya masyarakat Malaysia yang prihatin dan suka menghulurkan bantuan kepada mereka yang dalam kesusahan akan mengatasi segala kos tersebut.
Ucapan terima kasih kepada mereka yang terlibat dalam misi mencari Jaslinda. Sesungguhnya hutang budi itu dibawa sampai ke mati dan diingati sampai bila-bila.
Selesai sudah satu perkara. Kini perhatian rakyat terarah kepada dua Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan dalam tempoh terdekat.
Kita pasti seramai 2.7 juta pengundi di Johor dan 888,736 di Negeri Sembilan tidak sabar untuk memilih pihak mana yang akan menubuhkan kerajaan kelak.
Sudah pasti kita mengharapkan satu proses pilihan raya yang adil dapat dilakukan dan tidak menggunakan kecaman terhadap lawan sebagai modal berkempen.
Berhenti menuding jari menyalahkan orang dan fokus kepada apa yang ingin parti atau calon hendak berikan buat pengundi sekiranya diangkat sebagai pemimpin kelak.
Namun, belum pun Suruhanjaya Pilihan Raya membuat pengumuman rasmi mengenai tarikh-tarikh penting PRN, cybertrooper upahan sudah menjalankan tugas.
Hentaman, andaian dan menularkan senarai calon masih menjadi mainan politikus murahan. Biarlah benda itu tidak betul asalkan ada yang termakan hasutan dan berita palsu tersebut. Pilihan di tangan rakyat.
Anda boleh menilai siapa yang elok dikekalkan dan yang hanya nampak muka lima tahun sekali, inilah masanya mereka perlu ‘dibersarakan.’














